HIROSHIMA – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz mengakui aksi menentang Sanfrecce Hiroshima dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACL Elite) bukan tugas mudah walaupun Harimau Selatan berjaya melakar sejarah mara ke suku akhir.
Walaupun tewas 0-1 pada aksi timbal balik pusingan 16 terbaik di Stadium Bola Sepak Hiroshima, Jepun, JDT tetap melangkah ke peringkat seterusnya dengan kemenangan agregat 3-2.
Menurut Muñoz, beliau sudah menjangkakan perlawanan yang mencabar menentang wakil Jepun itu yang memiliki kualiti tinggi, khususnya dalam situasi bola mati.
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Mereka mempunyai kualiti, terutamanya dalam situasi bola mati.
“Namun yang paling penting ialah pasukan terus bermain dengan tenaga, intensiti dan keyakinan terhadap apa yang kami lakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam masa sama, jurulatih dari Sepanyol itu menyifatkan kejayaan mara ke suku akhir sebagai pencapaian bersejarah bukan sahaja buat JDT, malah untuk bola sepak Malaysia.
“Pada akhirnya kami mencipta sejarah. Sebuah kelab dari Malaysia berjaya mara ke peringkat ini dan itu sesuatu yang sangat positif,” ujarnya.
Tambah Muñoz, kejayaan tersebut juga membuktikan projek pembangunan jangka panjang kelab yang dipimpin pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berada di landasan tepat.
“Saya sangat gembira, terutamanya untuk bos kerana ini projek besar yang dibina sejak sekian lama.
“Hari ini semua orang dapat melihat bahawa kelab ini berada pada tahap yang tinggi,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen para pemain dan barisan staf yang bekerja keras sepanjang musim walaupun berdepan jadual padat serta perjalanan jauh.
“Musim ini sangat mencabar. Kami banyak mengembara dan bekerja keras untuk berada dalam situasi ini.
“Sebagai jurulatih, ia satu kepuasan melihat pasukan mencapai sesuatu seperti ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST