KELANA JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan pendaftaran empat pemain warisan sebagai pemain tempatan bagi musim Liga Malaysia 2025/26 dibuat secara sah dan mematuhi sepenuhnya peraturan pertandingan.
Empat pemain yang dimaksudkan ialah tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu João Figueiredo, Jon Irazabal dan Héctor Hevel serta pemain Kuching City, Gabriel Palmero.
Menurut MFL, proses pendaftaran kesemua pemain tersebut dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan dalam Manual Pertandingan Liga Malaysia 2025/26.
Berdasarkan Peraturan Pertandingan Artikel 3 berkaitan Sistem Pendaftaran dan Perpindahan Pegawai serta Pemain, proses pendaftaran dilakukan melalui platform maklumat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu MYPAS (FIFA Connect).
Peraturan itu menetapkan bahawa setiap kelab perlu mengemukakan dokumen pengenalan rasmi pemain seperti salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna bagi tujuan pendaftaran.
Perkara sama turut diperincikan dalam pekeliling yang diedarkan kepada semua kelab Liga Malaysia pada 12 Jun 2025 menerusi Klausa 8.2, yang menetapkan dokumen wajib dimuat naik dalam format PDF bagi mendapatkan kelulusan pendaftaran pemain.
MFL memaklumkan bahawa keempat-empat pemain tersebut telah melengkapkan proses pendaftaran menggunakan kad pengenalan Malaysia yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sehubungan itu, status mereka sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/26 adalah mematuhi sepenuhnya peraturan pertandingan yang ditetapkan.
Justeru, MFL menegaskan tiada sebarang pelanggaran peraturan dilakukan oleh JDT mahupun Kuching City berhubung pendaftaran pemain berkenaan.
Bagaimanapun, keempat-empat pemain tersebut masih tertakluk kepada tindakan disiplin yang dikenakan badan bola sepak antarabangsa.
FIFA bersama Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum ini memutuskan bahawa pemain terbabit perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan rasmi.
Ini bermakna walaupun pendaftaran mereka dalam liga domestik adalah sah, mereka tidak dibenarkan beraksi dalam pertandingan rasmi sepanjang tempoh penggantungan tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST