KUALA LUMPUR – Dunia Formula Satu dijangka menyaksikan perubahan besar pada kalendar musim 2026 apabila dua perlumbaan di Timur Tengah, iaitu Grand Prix Bahrain dan Grand Prix Arab Saudi berkemungkinan besar dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di rantau Teluk.
Menurut sumber dalam paddock sempena perlumbaan Chinese Grand Prix di Shanghai, pengesahan rasmi berhubung pembatalan dua perlumbaan tersebut dijangka diumumkan hujung minggu ini.
Situasi keselamatan di rantau berkenaan menjadi perhatian utama selepas tercetus konflik pada 28 Februari lalu susulan serangan ketenteraan bersama oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Sejak itu, badan induk sukan permotoran dunia, Fédération Internationale de l’Automobile bersama pengurusan Formula One terus memantau situasi keselamatan dengan kerjasama pihak penganjur serta kerajaan di Bahrain dan Arab Saudi.
Sekiranya pembatalan itu dimuktamadkan, kalendar Kejuaraan Dunia Formula Satu 2026 akan dikurangkan kepada 22 perlumbaan tanpa sebarang penggantian lokasi.
Keadaan itu sekali gus mewujudkan jurang empat minggu antara perlumbaan di Suzuka Circuit menerusi Japanese Grand Prix dan perlumbaan seterusnya di Miami Grand Prix di Amerika Syarikat.
Selain isu keselamatan, pembatalan tersebut turut memberi kesan besar kepada aspek logistik pasukan dan penghantaran kargo perlumbaan di seluruh paddock.
Kargo yang pada asalnya dijadualkan dihantar dari Jepun ke Bahrain International Circuit sebelum ke Jeddah Corniche Circuit kini dijangka dihantar terus ke Amerika Syarikat bagi persiapan Grand Prix Miami.
Dalam masa sama, beberapa pasukan turut mempertimbangkan untuk membawa pulang jentera ke kilang di Eropah bagi kerja penyelenggaraan sebelum dihantar semula ke Miami, namun langkah itu perlu mengambil kira peraturan had kos yang ditetapkan Formula Satu.
Situasi turut menjadi rumit apabila sebahagian peralatan pasukan masih berada di Bahrain selepas sesi ujian pramusim awal tahun ini, manakala beberapa kargo lain sudah pun dihantar ke Arab Saudi sebelum konflik tercetus. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – F1