KUALA LUMPUR – Dunia kini menyaksikan kemuncak kemarahan dan keprihatinan masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman berterusan yang menimpa rakyat Palestin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kepimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semakin dilihat sebagai simbol kepada dasar penindasan, pembunuhan beramai-ramai dan pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin.
Menurut beliau, suara rakyat dari pelbagai latar belakang agama, bangsa dan negara kini semakin lantang mengecam tindakan rejim Israel di Gaza serta serangan berterusan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan kawasan Masjid Al-Aqsa.
“Di bawah kepimpinan Netanyahu, rakyat Palestin terus berdepan penderitaan yang tidak terperi termasuk kematian ribuan wanita dan kanak-kanak, kemusnahan hospital, sekolah serta kemudahan asas selain sekatan bantuan kemanusiaan yang melanggar prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, situasi yang berlaku ketika ini bukan lagi sekadar konflik politik, sebaliknya merupakan tragedi kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera masyarakat antarabangsa.
“Dunia hari ini bukan sahaja menyaksikan penderitaan tersebut, malah semakin bersatu menuntut agar kekejaman ini dihentikan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapim menyeru masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta negara-negara yang menjunjung prinsip keadilan supaya mengambil tindakan tegas bagi menghentikan jenayah perang yang didakwa dilakukan oleh rejim Israel.
Dalam masa sama, katanya, dunia mengharapkan agar kepimpinan yang membawa kepada pertumpahan darah dan penindasan itu dapat berakhir serta digantikan dengan masa depan yang menjamin keamanan, keadilan dan kebebasan kepada rakyat Palestin.
“Keadilan mungkin tertangguh, namun ia tidak akan selamanya dinafikan,” katanya. – DETIK MALAYSIA