KUALA LUMPUR – Jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila sah menerima pelawaan sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 17 Tahun (B-17) Brunei Darussalam.
Malah, beliau mengakui telah menandatangani kontrak bersama Brunei B-17 di negara itu.
Raja Isa berkata, pelantikan tersebut bukan sahaja satu peluang baharu, malah pengiktirafan besar terhadap penglibatannya dalam dunia kejurulatihan bola sepak selama lebih 15 tahun di luar negara.
“Ini satu penghargaan yang besar kepada diri saya. Ia membuktikan pengalaman dan dedikasi saya dalam membangunkan bola sepak belia masih diyakini.
"Saya berterima kasih kepada FABD atas keyakinan ini dan berazam membantu melonjakkan prestasi skuad muda Brunei,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Difahamkan, Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) memilih jurulatih kelahiran Ampang itu berdasarkan kelayakan, pengalaman luas serta komitmennya dalam pembangunan bola sepak belia.
FABD percaya beliau mampu membawa kejayaan dalam kejohanan antarabangsa akan datang.
Apa yang menarik, meskipun namanya jarang mendapat perhatian daripada kelab-kelab tempatan di Malaysia, beliau kekal laris di pasaran luar negara.
Sebelum ini, bekas pengendali UiTM FC berusia 58 tahun itu pernah membina kerjaya di Indonesia, Bangladesh dan Guinea, malah kini kembali ke Asia Tenggara untuk mengemudi cabaran di Brunei.
Situasi ini memperlihatkan ironi dalam kariernya yang kurang diberi ruang di tanah air sendiri, namun sentiasa menjadi rebutan di luar negara.
“Mungkin saya tidak banyak menerima tawaran daripada kelab Malaysia, tetapi rezeki saya nampaknya lebih luas di luar negara. Selagi diberi peluang, saya akan terus berkarya dan berbakti kepada bola sepak,” tambahnya.
Pada Mei lalu, Raja Isa mencipta sejarah baharu apabila menjadi jurulatih Malaysia pertama yang berjaya membawa pasukan Brunei, Indera SC mara ke final Piala FA Brunei. - DETIK MALAYSIA