SHAH ALAM – Dunia kini berada di ambang bahaya apabila ketegangan ketenteraan di Asia Barat semakin memuncak sehingga berisiko mencetuskan konflik nuklear.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap perkembangan itu yang disifatkan menghampiri tahap “garisan merah” paling berbahaya dalam konflik moden.
Beliau berkata, sebarang langkah ke arah penggunaan senjata nuklear oleh Amerika Syarikat dan Israel akan membawa kepada bencana global yang tidak boleh dipulihkan.
“Persiapan ke arah penggunaan nuklear sahaja sudah menjadi ancaman besar kepada keamanan dunia.
“Jika senjata ini digunakan, kesannya adalah serta-merta dan tidak boleh diundur, mengorbankan jutaan nyawa serta menjadikan kawasan luas tidak lagi sesuai didiami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, konflik yang berlaku ketika ini jelas menunjukkan hala tuju berbahaya dengan tindakan ketenteraan dan ancaman balas yang semakin meningkat.
“Ini bukan lagi sekadar perang serantau, tetapi berpotensi menjadi malapetaka global,” ujarnya.
Mohd Azmi menegaskan bahawa Amerika Syarikat dan Israel perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku sebarang eskalasi sehingga mencetuskan konflik nuklear.
“Tiada alasan boleh diterima, sama ada atas nama keselamatan, pertahanan awal atau kepentingan geopolitik.
“Penggunaan senjata nuklear adalah jenayah terhadap kemanusiaan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Mapim menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa supaya segera campur tangan bagi meredakan ketegangan.
“Dunia tidak boleh terus berdiam diri. Kegagalan bertindak sekarang hanya akan menjadikan semua pihak bersubahat dalam bencana besar,” katanya.
Tambah beliau, umat manusia kini berada di ambang jurang kehancuran dan sebarang keputusan untuk menggunakan senjata nuklear bukan sahaja memusnahkan negara, malah mencerminkan kegagalan moral dunia.
Sehubungan itu, Mapim menyeru semua pihak supaya menahan diri dan segera meredakan konflik sebelum “garisan merah” dilangkaui. – DETIK MALAYSIA