BERGAMO – Ital semakin hampir merealisasikan impian kembali ke pentas Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Northern Ireland national team 2-0 dalam aksi playoff separuh akhir Kelayakan Zon Eropah, awal pagi tadi.
Walaupun tidak menampilkan aksi paling memukau, kemenangan itu sudah cukup bermakna buat skuad Azzurri yang masih dibayangi kegagalan layak ke dua edisi Piala Dunia sebelum ini.
Pemain tengah, Sandro Tonali muncul wira apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan untuk memastikan Itali terus berada di landasan tepat.
Selepas babak pertama yang hambar, Itali akhirnya memecah kebuntuan sejurus bermula separuh masa kedua apabila Tonali melepaskan rembatan dari luar kotak penalti hasil situasi bola muntah.
Gol tersebut menyuntik semangat baharu buat tuan rumah yang kemudian menggandakan kelebihan pada penghujung permainan menerusi Moise Kean, hasil umpanan tepat Tonali untuk gol antarabangsa ke-12 penyerang itu.
Di bawah kendalian Gennaro Gattuso, Itali jelas menguasai permainan dengan pegangan bola mencecah 71 peratus, namun berdepan kesukaran menembusi benteng kental Ireland Utara pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, perubahan taktikal dan peningkatan intensiti pada babak kedua membolehkan Itali menterjemahkan dominasi kepada jaringan.
Turut mencuri tumpuan ialah pemain gantian, Francesco Pio Esposito yang mempamerkan aksi bertenaga serta kombinasi baik di jentera serangan.
Itali kini menanti pemenang antara Wales dan Bosnia & Herzegovina dalam aksi final playoff yang dijangka berlangsung di tempat lawan, sekali gus menjanjikan cabaran lebih getir buat skuad Azzurri. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIGC