KELANA JAYA – Pertahanan Feroz Baharudin mengakui prestasinya kini semakin kembali ke tahap sebenar selepas melalui tempoh pemulihan panjang yang mencabar, sekali gus menyuntik keyakinan menjelang aksi penting menentang Vietnam national football team dalam Kelayakan Piala Asia AFC 2027.
Pemain Johor Darul Ta’zim FC itu menyifatkan pemanggilan semula ke kem skuad kebangsaan di Pathum Thani sebagai detik cukup bermakna selepas hampir setahun tidak beraksi di pentas kompetitif.
“Panggilan ini sangat bermakna buat saya. Selepas hampir setahun tidak bermain, ini peluang untuk saya buktikan kemampuan kepada jurulatih dan berikan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Menurutnya, perjalanan untuk kembali cergas bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kesabaran, disiplin serta kekuatan mental yang tinggi.
“Proses pemulihan bukan mudah. Untuk capai tahap ini semula dengan prestasi sebegini memang ambil masa. Saya perlu sentiasa berhati-hati, buat persiapan rapi termasuk pemanasan badan dan kekal konsisten,” ujarnya.
Mengulas prestasi semasa, Feroz bersyukur kerana semakin menemui rentak permainan, namun mengakui masih banyak ruang untuk ditingkatkan.
“Alhamdulillah, saya rasa prestasi saya sudah kembali normal. Tapi saya perlu lebih yakin dan tampilkan aksi lebih baik,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai peranan besar kelabnya yang banyak membantu sepanjang proses pemulihan sehingga kembali mencapai tahap terbaik.
“Di JDT, semua orang banyak bantu saya setiap hari dalam latihan. Mereka bantu saya kembali lebih kuat dan beri keyakinan untuk tampil baik,” jelasnya.
Menjelang pertemuan getir menentang Vietnam, Feroz menegaskan skuad Harimau Malaya perlu memberikan fokus sepenuhnya demi mempertahankan maruah negara.
“Ini soal maruah negara. Kami perlu beri fokus penuh dan tampilkan aksi terbaik menentang Vietnam.
“Jika diberi peluang, saya akan buktikan kemampuan kepada jurulatih dan seluruh rakyat Malaysia. Kami akan berikan yang terbaik,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM