HANOI – Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik tampil penuh keyakinan apabila meramalkan skuad kendaliannya mampu menewaskan Malaysia 2-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, malam esok.
Menurutnya, meskipun Vietnam sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir, perlawanan tersebut tetap dianggap penting sebagai persiapan menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan.
“Walaupun kami sudah layak ke Piala Asia 2027, kami tetap mahu menang. Ini adalah perlawanan penting sebagai persediaan ke kejohanan akan datang,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.
Jurulatih berusia 47 tahun itu turut menegaskan sasaran utama pasukan adalah untuk mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri di Stadium Thien Truong.
“Objektif kami adalah kemenangan. Para pemain sudah bersedia dan saya harap kami boleh menang 2-0,” ujarnya.
Perlawanan ini turut diselubungi kontroversi selepas keputusan pertemuan pertama sebelum ini dibatalkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Vietnam pada awalnya tewas 0-4 kepada Malaysia, namun keputusan itu ditukar selepas Malaysia didapati menurunkan tujuh pemain naturalisasi yang tidak layak. Susulan itu, Malaysia dikenakan kekalahan 0-3 bagi baki perlawanan termasuk bertemu Vietnam dan Nepal.
Jelas Kim, insiden tersebut menjadi pembakar semangat buat anak buahnya untuk bangkit memburu kemenangan.
“Perkara itu memberi motivasi tambahan kepada pemain. Kami mahu beraksi dengan baik dan menggembirakan penyokong,” katanya.
Dalam masa sama, beliau tidak memandang mudah cabaran Malaysia meskipun Harimau Malaya dilaporkan kehilangan beberapa tonggak utama susulan hukuman tersebut.
“Dalam bola sepak, semua pasukan mahu menang. Malaysia juga begitu. Walaupun mereka kehilangan beberapa pemain, kami juga ada kekurangan. Apa yang penting, kedua-dua pasukan sudah bersedia,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – VFF