SHAH ALAM – Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid tampil dengan satu surat terbuka yang tegas, menggesa para pemimpin negara-negara Teluk supaya bangkit mengambil tindakan segera dalam menangani konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Menurut beliau, perang yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, selain kemusnahan berterusan di Gaza, kini telah mencapai tahap membimbangkan dan berpotensi mencetuskan konflik lebih besar di rantau tersebut.
“Ini bukan lagi krisis yang jauh. Ia sedang berlaku di sekitar sempadan dan dalam lingkungan pengaruh negara-negara Teluk sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa negara-negara Teluk kini berada di persimpangan penting, bukan sahaja dari segi kekuatan ekonomi dan diplomasi, tetapi juga sebagai pemegang amanah kepada warisan Islam.
Namun, persoalan utama ketika ini, katanya, bukan soal kemampuan tetapi keberanian untuk bertindak.
“Adakah negara-negara Teluk akan terus menjadi pemerhati, atau bangkit sebagai kuasa penentu bagi menghentikan pertumpahan darah dan ketidakadilan?” soal beliau.
RISIKO SEMAKIN MEMUNCAK
Tambahnya, kesan kegagalan bertindak sudah mula kelihatan, termasuk serangan terhadap orang awam dan tempat suci yang semakin menjadi kebiasaan, selain undang-undang antarabangsa yang semakin terhakis.
Lebih membimbangkan, risiko perang serantau yang lebih besar kini semakin hampir, sekali gus mengancam kestabilan negara-negara Teluk sendiri.
Dalam masa sama, perpaduan Ummah juga dilihat semakin rapuh ketika ia amat diperlukan.
LIMA TUNTUTAN TEGAS
Sehubungan itu, Mapim mengemukakan beberapa tuntutan utama kepada pemimpin Teluk:
- Mendesak gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Gaza serta seluruh zon konflik
- Menggunakan pengaruh diplomatik bagi menghentikan eskalasi ketenteraan
- Menolak normalisasi dengan pihak penjajah sehingga keadilan ditegakkan
- Menggerakkan koridor bantuan kemanusiaan secara bersatu
- Mengadakan sidang tergempar OIC dan Liga Arab bagi penyelarasan tindakan
Selain itu, beliau turut menyeru agar negara-negara Teluk kembali kepada dasar luar yang bebas, berpaksikan kepentingan rakyat dan prinsip Islam.
UJIAN MORAL DUNIA ISLAM
Menurutnya, isu ini bukan sekadar konflik politik, sebaliknya satu ujian moral yang besar.
“Rakyat Gaza tidak meminta simpati, mereka menuntut tindakan. Ummah pula tidak mahu sekadar kenyataan, tetapi kepimpinan,” tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa sejarah akan menilai sama ada negara-negara Teluk memilih untuk berdiam diri atau bangkit dengan keberanian pada saat genting ini.
“Semoga Allah memberi petunjuk dan kekuatan kepada para pemimpin dalam mempertahankan kebenaran serta maruah Ummah,” katanya. – DETIK MALAYSIA