SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Perikatan Masjid Sedunia bagi Pertahanan Al-Aqsa (Manar) dan Sekretariat Perhimpunan Ulama Asia (Shura) menyuarakan kebimbangan serius susulan penutupan berpanjangan Masjid Al-Aqsa yang disifatkan paling lama dalam sejarah terkini, selain perkembangan di lapangan yang menunjukkan ancaman terhadap status dan kewujudan tapak suci itu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, laporan semasa menunjukkan sekatan semakin ketat, operasi kemasukan secara paksa serta langkah sistematik yang mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan perubahan struktur atau agenda tertentu terhadap masjid berkenaan.
“Situasi ini bukan terpencil, sebaliknya mencerminkan strategi lebih besar yang boleh menjejaskan identiti dan kesucian salah satu tapak paling suci umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Masjid Al-Aqsa bukan sekadar tempat ibadah, tetapi amanah suci bagi seluruh umat Islam di dunia.
Beliau menegaskan, tindakan menyekat akses ke lokasi itu merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk kebebasan beragama dan perlindungan warisan budaya.
“Ia juga menafikan hak umat Islam untuk beribadah secara bebas dan selamat,” katanya.
Tambah beliau, sebarang ancaman untuk merobohkan atau mengubah struktur masjid itu disifatkan sebagai ‘garis merah’ yang tidak boleh dilanggar.
“Jika berlaku, ia adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan sejarah,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sikap masyarakat antarabangsa yang dilihat membisu.
“Diam hanya akan menggalakkan pelanggaran berterusan dan menambah ketidakadilan,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa umat Islam di seluruh dunia untuk bersatu mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa melalui pendekatan aman dan solidariti global.
Selain itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara-negara Islam diminta mengadakan sidang tergempar, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa campur tangan segera bagi memastikan perlindungan terhadap tapak berkenaan.
“Kesucian Al-Aqsa tidak boleh dirunding. Untuk terus berdiam diri bermakna membiarkan sejarah ditulis dengan paksaan.
“Umat Islam perlu bangkit dengan kesatuan dan ketegasan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI