KUALA LUMPUR – Kawasan tumpuan warga asing di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah, Chow Kit, yang digelar ‘Little Pakistan’ ‘disapu’ bersih Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi besar-besaran, malam tadi.
Serbuan bermula pukul 9 malam itu melibatkan 45 premis merangkumi restoran, kedai runcit dan hotel di sepanjang laluan kira-kira 700 meter, dengan pemeriksaan dilakukan ke atas 400 warga asing dan tempatan.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, hasil serbuan membawa kepada tangkapan 196 warga asing dan tiga majikan tempatan yang disyaki menggajikan PATI di restoran mereka.
“Mereka yang ditahan melibatkan lapan negara iaitu Indonesia, Pakistan, Bangladesh, India, Jordan, Nepal, Filipina dan Sri Lanka. Walaupun ada pekerja memiliki dokumen, kebanyakan pengusaha restoran didapati menyelitkan PATI di antara pekerja sah.
“Taktik ini sudah lama digunakan dan kami tidak akan berkompromi. Tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha terbabit,” katanya ketika sidang media di lokasi.
Operasi bersepadu itu dijalankan pasukan KL Strike Force dengan kerjasama JIM, DBKL, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
DBKL dalam pada itu bertindak menyita 52 meja dan 204 kerusi yang menghalang kawasan awam mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Sementara itu, KPDN mengeluarkan lima kompaun bernilai RM5,500 ke atas 45 premis atas kesalahan pelabelan harga dan penggunaan alat timbang sukat, manakala Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan tujuh kompaun berkaitan papan tanda dan resit.
Semua PATI yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala warga tempatan yang menggajikan mereka berdepan tindakan di bawah Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 35(b) akta sama. - DETIK MALAYSIA