PETALING JAYA – Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah tampil memohon maaf susulan insiden yang berlaku selepas perlumbaan kedua (Race 2) Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026, baru-baru ini.
Mewakili pasukan JDT Racing Team, Hafizh mengakui tindakannya meraikan kemenangan di garisan penamat adalah tidak wajar dan berpotensi membahayakan pelumba lain yang masih sedang menamatkan perlumbaan.
Menurut bekas pelumba MotoGP itu, beliau kesal dengan situasi berkenaan dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.
“Saya mengakui cara sambutan tersebut tidak sesuai dan boleh mengundang risiko keselamatan kepada pelumba lain. Saya benar-benar kesal dengan kesilapan ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas tamat perlumbaan.
Dalam masa sama, Hafizh turut memaklumkan bahawa beliau menerima sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh pihak Race Direction termasuk penalti yang dikenakan terhadapnya.
Katanya, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam sukan permotoran dan beliau menghormati segala keputusan tanpa sebarang bantahan.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua pelumba yang terkesan, pihak penganjur, pasukan serta peminat. Insiden ini tidak mencerminkan tahap profesionalisme yang saya pegang sebagai pelumba,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hafizh menjelaskan bahawa jentera yang ditungganginya mengalami lonjakan kuasa akibat kekurangan bahan api ketika di bahagian akhir perlumbaan, sekali gus menyebabkan kelajuan menurun di laluan lurus belakang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan situasi tersebut bukan alasan, sebaliknya hanya sebahagian daripada keadaan yang berlaku ketika insiden itu, sambil menegaskan komitmennya untuk terus bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC