KUALA LUMPUR – Ketegangan selama 42 hari antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilihat sebagai titik perubahan penting dalam landskap geopolitik global, sekali gus mencabar dominasi kuasa besar itu di rantau Asia Barat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, krisis tersebut bukan sekadar konflik biasa, sebaliknya menjadi ujian besar terhadap pengaruh AS di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, percanggahan dasar AS berhubung kepentingan Selat Hormuz memperlihatkan kelemahan strategik yang semakin ketara.
“AS pada mulanya menyifatkan laluan itu tidak penting, kemudian menuntut ia dibuka, dan akhirnya mengugut untuk menyekatnya. Ini menunjukkan ketidakkonsistenan yang membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Iran pula kini muncul sebagai pemain strategik yang lebih agresif dengan keupayaan mengganggu keseimbangan kuasa tanpa perlu mencetuskan peperangan berskala besar.
“Pendekatan Iran berasaskan pencegahan asimetrik menggunakan peluru berpandu dan dron telah mengubah persepsi terhadap kekuatan ketenteraan tradisional,” jelasnya.
Selat Hormuz yang menjadi laluan utama bekalan minyak dunia turut memberi kesan besar terhadap ekonomi global sekiranya berlaku gangguan.
“Sebarang ketegangan di kawasan itu akan memberi kesan langsung kepada harga minyak, keselamatan makanan dan kestabilan ekonomi dunia,” ujarnya.
Dalam masa sama, Mapim turut melihat perubahan dalam corak peperangan moden apabila kebergantungan kepada aset besar seperti kapal induk semakin berkurangan.
“Teknologi kos rendah seperti dron kini mampu menyaingi sistem pertahanan canggih, sekali gus mengubah konsep dominasi ketenteraan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, tindak balas negara Barat terhadap krisis tersebut juga dilihat tidak sekata, sekali gus menunjukkan perpecahan dalam pakatan mereka.
Mapim menegaskan, dunia kini sedang bergerak ke arah sistem multipolar di mana kuasa tidak lagi dimonopoli oleh satu pihak sahaja.
Sehubungan itu, badan berkenaan menggesa negara-negara Islam memperkukuh kerjasama serantau dan mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar.
“Keutamaan kini adalah meredakan ketegangan, memastikan laluan maritim kekal terbuka serta membina daya tahan ekonomi yang lebih kukuh,” katanya.
Jelasnya, krisis tersebut menjadi amaran bahawa kestabilan dunia bergantung kepada keseimbangan kuasa, bukan dominasi mutlak mana-mana pihak. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI