ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim, Xisco Muñoz memohon maaf kepada penyokong Harimau Selatan selepas pasukannya tewas 1-3 kepada Buriram United pada aksi separuh akhir pertama ASEAN Club Championship di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, kekalahan tersebut cukup mengecewakan memandangkan JDT menguasai sebahagian besar permainan, namun dihukum dengan kecekapan lawan menerusi serangan balas pantas dan situasi bola mati.
“Perlawanan ini terasa berbeza kerana kami mengawal permainan, terutama menerusi transisi di bahagian sayap dan kombinasi di tengah.
“Malangnya Buriram berjaya menjaringkan tiga gol hasil serangan balas dan situasi bola mati yang akhirnya membezakan keputusan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Xisco mengakui penyerang import Buriram, Guilherme Bissoli menjadi ancaman utama selepas meledak dua gol buat wakil Thailand itu.
“Sebelum perlawanan saya sudah bercakap mengenai bahaya Bissoli. Kami memberinya ruang dan dia cukup bijak mengambil peluang,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau enggan menyalahkan mana-mana pemain atas kekalahan tersebut dan menegaskan kesilapan berlaku secara kolektif.
“Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pemain kerana gol yang kami bolosi berpunca daripada kesilapan berpasukan yang bermula lebih awal.
“Tidak adil untuk menyalahkan individu tertentu,” katanya.
Dalam masa sama, Xisco turut mengakui ketiadaan beberapa tonggak utama memberi kesan besar kepada corak permainan JDT, termasuk penyerang berbisa Bergson da Silva dan pemain tengah berpengalaman Natxo Insa yang tidak dapat diturunkan.
Selain itu, pemain import Romel Morales juga masih dibelenggu kecederaan.
“Ketiadaan Bergson dan Romel jelas menjejaskan kombinasi serangan kami,” katanya.
Walaupun berdepan defisit dua gol, Xisco tetap optimis JDT mampu bangkit pada aksi timbal balik di Chang Arena, Thailand pada 13 Mei ini.
“Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan terus berjuang.
“Kami berjuang demi lencana JDT, karakter, semangat dan cita-cita pasukan. Masih ada 90 minit lagi dan kami akan ke Thailand untuk cuba mengubah keadaan.
“Saya percaya jika kami mempunyai keyakinan, ia bukan sesuatu yang mustahil,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST