THIEN TRUONG – Selangor FC mengesahkan tempat ke pentas final Shopee Cup selepas menewaskan Thep Xanh Nam Dinh FC 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong, sekali gus melakar kemenangan agregat 4-1, sebentar tadi.
Turun dengan misi memburu trofi terakhir musim 2025/26, skuad Merah Kuning tampil lebih tersusun meskipun beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah yang memberi tekanan sepanjang perlawanan.
Selangor membawa bekalan tipis satu gol selepas menang 2-1 pada aksi pertama di Stadium MBPJ, 6 Mei lalu, namun anak buah pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk memperkukuh kedudukan agregat.
Penyerang import Brazil, Chrigor Moraes terus menjadi sandaran utama selepas meledakkan dua gol penting buat Selangor. Pemain itu kini terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penjaring paling berbisa kelab berkenaan musim ini.
Babak pertama menyaksikan Nam Dinh cuba mengasak menerusi Nguyen Xuan Son, Percy Tau dan Caio Cesar, namun benteng Selangor kekal ampuh mengekang setiap percubaan.
Selangor hampir membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi Vitor Pernambuco, namun percubaannya berjaya disekat kapten tuan rumah, Tran Nguyen Manh.
Pasukan pelawat akhirnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-40 selepas semakan VAR mendapati Mitchell Dijks melakukan kekasaran terhadap Mohammad Abualnadi di dalam kotak penalti.
Chrigor tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan Selangor di depan 1-0, sekali gus melebarkan agregat kepada 3-1 sebelum tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Nam Dinh cuba bangkit dengan melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan Chadrac Akolo bagi memperkuatkan jentera serangan.
Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan menerusi Lam Ti Phong, namun jaringan itu dibatalkan selepas Percy Tau terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.
Selangor kemudian kehilangan Pernambuco akibat kecederaan sebelum Zikri Khalili dimasukkan bagi memperkemaskan benteng pertahanan.
Ketika Nam Dinh terus memburu gol, Chrigor sekali lagi menghukum kelalaian lawan apabila pantas menyudahkan hantaran jauh Zikri pada minit ke-90 untuk memastikan kemenangan 2-0.
Kejayaan itu menyaksikan Selangor kini hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan Shopee Cup apabila bakal bertemu sama ada Johor Darul Ta’zim atau Buriram United pada aksi final yang dijadual berlangsung 20 dan 27 Mei ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC