KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Alliance of World Mosques in Defence of Al Aqsa (Manar) dan Secretariate of the Ulama Assembly of Asia (Shura) menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan agresi Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa sempena memperingati Nakbah 2026.
Dalam kenyataan media bersama hari ini, ketiga-tiga pertubuhan itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melibatkan penutupan kawasan suci berkenaan selama hampir 40 hari, pencerobohan pemukim haram Yahudi, aktiviti pengorekan terowong bawah tanah serta kenyataan terbuka pemimpin Zionis yang menyeru pemusnahan masjid berkenaan.
Menurutnya, dunia kini bukan sahaja menyaksikan penjajahan, malah satu kempen tersusun untuk menghapuskan identiti Islam serta sejarah suci Masjid Al-Aqsa.
“Mereka memberi galakan kepada pemukim haram untuk menyerbu kawasan masjid setiap hari di bawah perlindungan tentera, sambil mengenakan sekatan ketat terhadap umat Islam Palestin untuk beribadah.
“Tindakan ini merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, kebebasan beragama dan status quo yang mengawal tapak-tapak suci di Baitulmaqdis,” menurut kenyataan itu.
Mapim, Manar dan Shura turut menyifatkan kenyataan beberapa menteri Zionis yang menyeru pembinaan “Third Temple” di tapak Al-Aqsa sebagai ancaman terhadap keamanan dunia dan hasutan kepada peperangan agama.
Selain itu, aktiviti pengorekan terowong di bawah dan sekitar kompleks masjid berkenaan didakwa bertujuan melemahkan struktur salah satu tempat paling suci umat Islam.
“Mereka menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk merobohkan atau mencemarkan Masjid Al-Aqsa adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan penghinaan terhadap sensitiviti lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Sehubungan itu, mereka menyeru negara-negara Islam, anggota OIC, para ulama, pertubuhan masyarakat sivil serta masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan diplomatik, ekonomi dan perundangan terhadap rejim Zionis.
Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk perlindungan antarabangsa segera terhadap Masjid Al-Aqsa, sidang tergempar OIC serta siasatan antarabangsa terhadap aktiviti pengorekan terowong di bawah kompleks masjid berkenaan.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi Alliance of World Mosques in Defence of Al Aqsa, Datuk Seri Syekh Ahmad Awang serta Pengerusi Secretariate of the Ulama Assembly of Asia, Dato’ Wira Syekh Abdul Ghani Samsudin. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI