KUCHING – Kuching City FC mencipta sejarah tersendiri apabila mengesahkan slot ke saingan AFC Champions League Two (ACL2) musim 2026/27 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 1-0 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.
Kemenangan berharga itu membolehkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak menamatkan saingan liga di tangga kedua dengan 53 mata sekali gus memintas Selangor FC yang mengakhiri musim di kedudukan ketiga dengan 52 mata.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, The Cats tampil garang sejak wisel permulaan dengan melancarkan beberapa siri serangan berbahaya ke kubu pelawat.
Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30 menerusi jaringan import, Jerome Etame yang tenang menyempurnakan peluang hasil lontaran jauh Muhammad Ariff Farhan untuk meletakkan Kuching City di depan.
Tersentak dengan gol tersebut, KL City cuba bangkit menerusi serangan balas pantas, namun benteng pertahanan Kuching City kekal ampuh bagi mengekang asakan skuad warga kota itu.
Jerome hampir menggandakan jaringan sebelum tamat babak pertama, namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol KL City, Quincy Julian Kammeraad.
Bersambung babak kedua, Kuching City terus menguasai permainan dan sempat meledak gol kedua menerusi Yuki Tanigawa pada minit ke-48, namun jaringan itu dibatalkan pengadil selepas berlaku kekasaran lebih awal.
KL City yang enggan mengalah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi pemain gantian, Kpah Sean Sherman, tetapi rembatan derasnya berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Haziq Nadzli.
Walaupun gagal menambah jaringan, Kuching City berjaya mempertahankan kelebihan sehingga tamat perlawanan untuk meraikan kemenangan penuh bermakna di hadapan penyokong sendiri.
Kejayaan tersebut bukan sahaja melengkapkan musim cemerlang Kuching City, malah menyaksikan kelab dari Bumi Kenyalang itu layak ke pentas ACL2 buat kali pertama dalam sejarah penubuhan kelab. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL