BARCELONA – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus mencuri perhatian pada Kejuaraan Dunia Moto3 apabila meraih penamat ketujuh pada Grand Prix Catalunya 2026 di Litar Barcelona-Catalunya, awal pagi tadi.
Mewakili pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSi, Hakim sekali lagi mempamerkan aksi matang dan kompetitif untuk bersaing bersama kelompok hadapan dalam perlumbaan pusingan keenam musim ini.
Memulakan perlumbaan dari petak ke-10 hasil aksi cemerlang semasa sesi kelayakan kelmarin, pelumba negara itu melakukan permulaan agresif sebaik lampu hijau dipadamkan.
Hakim pantas memintas beberapa pelumba di hadapan sebelum berjaya berada dalam kelompok lima terbaik pada awal perlumbaan. Malah, pelumba berusia 18 tahun itu turut sempat mendahului saingan buat seketika sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing dengan pelumba terbaik dunia dalam kategori Moto3.
Persaingan sengit dalam kelompok hadapan menyaksikan beberapa pertukaran kedudukan berlaku hampir setiap pusingan dengan aksi ‘slipstream’ menjadikan perlumbaan berlangsung cukup mendebarkan sehingga ke penghujung saingan.
Hakim terus bertahan dalam kelompok podium dan dilihat berpotensi menamatkan perlumbaan di kedudukan tiga terbaik menjelang pusingan terakhir.
Bagaimanapun, harapan tersebut sedikit terjejas selepas dia kehilangan kawalan ketika memasuki sektor terakhir pada lap akhir sebelum terbabas sedikit ke luar garisan perlumbaan.
Kesilapan kecil itu menyebabkan Hakim kehilangan beberapa posisi penting dalam perebutan sengit menuju garisan penamat.
Walaupun begitu, pelumba negara itu tetap berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan catatan 0.623 saat di belakang pemenang perlumbaan, Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team.
Quiles menjuarai perlumbaan dengan masa keseluruhan 32 minit 28.964 saat selepas mengharungi pertarungan sengit melibatkan beberapa pelumba utama di Catalunya.
Keputusan tersebut membolehkan Hakim membawa pulang sembilan mata tambahan kejuaraan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kutipannya kini 27 mata selepas enam pusingan musim ini.
Prestasi konsisten yang dipamerkan Hakim turut mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek terbaik Malaysia dalam arena perlumbaan motosikal antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing