SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melahirkan kebimbangan serius terhadap dakwaan yang dibuat Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berhubung penglibatan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menyokong atau memudahkan serangan terhadap Iran ketika konflik ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel baru-baru ini.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sekiranya dakwaan itu terbukti benar, pihaknya mengecam sebarang bentuk kerjasama sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan rejim Zionis atau kuasa asing dalam tindakan agresif terhadap sebuah negara Islam.
Menurut beliau, ketika umat Islam berdepan tekanan besar termasuk isu pencerobohan di Masjid Al-Aqsa, perang di Gaza dan ketidakstabilan di Asia Barat, negara-negara Islam tidak sepatutnya menjadi alat kepada agenda geopolitik luar yang melemahkan dunia Islam.
“Mapim menegaskan umat Islam memerlukan perpaduan berprinsip, kebebasan strategik dan diplomasi kolektif yang berteraskan keadilan serta saling menghormati.
“Persaingan politik dan konflik serantau tidak boleh membawa kepada kerjasama dengan pihak yang terus menjajah bumi Palestin, menyerang negara berdaulat dan mencetuskan ketidakstabilan di Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Mapim turut memberi amaran mengenai risiko konflik lebih besar yang boleh mengancam keselamatan awam, kestabilan tenaga dan keamanan dunia.
Katanya, Asia Barat tidak boleh terus dijadikan medan perang proksi dan dominasi ketenteraan demi kepentingan kuasa besar.
Sehubungan itu, Mohd Azmi menggesa negara-negara Islam mempertahankan solidariti umat serta menolak sebarang bentuk kerjasama dalam tindakan agresif terhadap negara Islam lain.
Beliau turut menyeru Organisation of Islamic Cooperation supaya segera mengadakan mekanisme keamanan dan pertanggungjawaban bagi menangani ketegangan yang semakin memuncak di rantau tersebut.
Selain itu, badan berkenaan meminta siasatan antarabangsa bebas dijalankan terhadap dakwaan kerjasama sulit dalam serangan ketenteraan serta menggesa semua pihak mengutamakan dialog dan diplomasi berbanding konfrontasi bersenjata.
Mapim menegaskan keamanan sebenar di rantau itu hanya dapat dicapai melalui keadilan, penghormatan terhadap kedaulatan negara, penamatan penjajahan Palestin dan pembentukan kerjasama serantau yang bebas daripada pengaruh asing serta politik peperangan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI