BUKIT JALIL – Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu terlalu selesa dengan reputasi selaku kuasa besar bola sepak negara apabila bakal turun menentang Kuching City pada aksi final Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Pengendali Harimau Selatan, Xisco Muñoz mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Kuching City yang disifatkan sebagai antara pasukan paling konsisten musim ini.
Menurut jurulatih dari Sepanyol itu, status final sentiasa menjanjikan cabaran berbeza walaupun JDT hadir dengan reputasi gah selepas mendominasi bola sepak tempatan sejak beberapa musim lalu.
“Kami sentiasa mahu berkembang, memperbaiki pasukan dan memberikan yang terbaik untuk negara.
“Tetapi sekarang perkara paling penting adalah perlawanan esok. Kami akan menentang pasukan yang sangat kuat. Mereka berada di tangga kedua liga, jadi final ini menemukan dua pasukan terbaik di Malaysia,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.
Xisco turut mengakui kekuatan utama Kuching City terletak pada disiplin bertahan serta corak permainan fizikal yang mampu menyukarkan mana-mana lawan.
“Mereka hanya bolos sedikit gol sepanjang musim ini dan setiap perlawanan menentang mereka sangat sengit.
“Mereka sangat kuat dari segi fizikal dan taktikal. Esok kami perlu tampil pada tahap terbaik,” ujarnya.
Bekas pengurus Watford itu turut menegaskan perlawanan akhir tidak boleh dipandang mudah walaupun JDT memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut.
“Final tetap final.
“Jersi dan logo ini membawa tanggungjawab besar. Esok adalah satu lagi peluang untuk mencipta sejarah buat kelab,” katanya.
Dalam masa sama, Xisco mengakui pening memikirkan kesebelasan utama kerana memiliki ramai pemain berkualiti dalam skuad musim ini.
“Agak sukar memilih kesebelasan utama kerana kami mempunyai ramai pemain yang bagus.
“Kami perlu fikir tentang kombinasi, tahap kecergasan, keseimbangan taktikal dan keadaan pemain selepas musim yang sangat mencabar,” jelasnya.
Beliau turut mengesahkan berita gembira buat penyokong JDT apabila tonggak Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi kembali menyertai skuad selepas pulih daripada kecederaan.
“Ini berita yang sangat baik buat kami. Arif kembali berada dalam senarai dan kami akan lihat sama ada dia boleh bermain beberapa minit,” katanya.
Sementara itu, kapten JDT, Bergson Da Silva menegaskan semangat memburu trofi dalam kalangan pemain masih membara walaupun mereka sudah meraih pelbagai kejuaraan domestik.
“Jangkaan sentiasa tinggi kerana kami adalah juara bertahan.
“Sebab itu motivasi dan keinginan untuk menang perlu kekal sama atau lebih tinggi. Setiap final adalah peluang untuk menunjukkan karakter pasukan,” katanya.
Penyerang import dari Brazil itu turut menghargai peranan rakan sepasukan yang banyak membantu dirinya mencipta pelbagai rekod sepanjang bersama JDT.
“Jika tiada bantuan rakan sepasukan, saya tidak akan mampu mencapai statistik seperti ini.
“Musim ini kami meningkat banyak sebagai satu pasukan dan kami bersedia secara mental untuk satu lagi aksi final,” ujarnya.
Menurut Bergson, kekalahan dalam final Piala Malaysia 2021 masih meninggalkan kesan mendalam dan menjadi pembakar semangat skuad Harimau Selatan sehingga hari ini.
“Kekalahan itu sangat menyakitkan.
“Selepas final tersebut, kami berjanji tidak akan kehilangan identiti pasukan lagi. Sejak itu kami terus berkembang dan mengekalkan standard kami,” katanya.
Bergson turut menegaskan pencapaian peribadi tidak membawa makna besar sekiranya gagal menghadiahkan trofi buat kelab dan penyokong.
“Jika kami menang 1-0 dan saya tidak menjaringkan gol, saya tetap gembira.
“Perkara paling penting adalah membawa pulang trofi. Itu mentaliti dalam JDT,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL