KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim terus mengukuhkan status sebagai kuasa besar bola sepak negara selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Nasional TM, malam tadi.
Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan muncul kelab pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia memenangi empat gelaran Piala Malaysia secara berturut-turut selain melengkapkan ‘quadruple’ domestik buat musim keempat berturut-turut.
Trofi berprestij itu melengkapkan musim gemilang JDT selepas sebelum ini menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA serta kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut.
Turun selaku pilihan utama, JDT bagaimanapun dipaksa bekerja keras oleh Kuching City yang tampil penuh berani dan disiplin sepanjang perlawanan.
JDT hampir berada di depan seawal minit ke-12 menerusi Bergson da Silva, namun jaringan penyerang import Brazil itu dibatalkan selepas pengadil mengesan kekasaran dalam gerakan tersebut.
Kuching City kemudian hampir mengejutkan penyandang juara apabila Ramadhan Saifullah gagal menyempurnakan peluang terbaik hasil hantaran lintang Joao Pedro.
Menjelang penghujung babak pertama, tekanan demi tekanan dilakukan JDT dengan Ager Aketxe menguji ketangkasan penjaga gol, Haziq Nadzli sebelum penjaga gol itu sekali lagi cemerlang menafikan percubaan Bergson dan Nacho Mendez.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak namun kekebalan benteng Kuching City serta aksi cemerlang Haziq memastikan keputusan kekal buntu.
Detik paling mendebarkan hadir pada minit ke-60 apabila Kuching City dihadiahkan sepakan penalti selepas La’Vere Corbin-Ong menjatuhkan Ramadhan dalam kotak penalti.
Namun peluang keemasan itu disia-siakan apabila Ramadhan melepaskan sepakan melewati tiang kanan sekali gus memberi kelegaan besar buat JDT.
Kegagalan tersebut akhirnya dihukum apabila Marcos Guilherme meledak gol pembukaan pada minit ke-80 menerusi penyudah lambung menarik menewaskan Haziq untuk menggamatkan Stadium Nasional.
Lebih manis, Arif Aiman yang kembali selepas berehat hampir enam bulan akibat kecederaan hamstring menambah gol kedua pada masa kecederaan sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya Harimau Selatan.
Kejayaan itu sekali lagi membuktikan dominasi luar biasa JDT dalam arena bola sepak tempatan yang terus sukar digugat mana-mana pencabar. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL