KUALA LUMPUR – Prasarana Integrated Development Sdn. Bhd. (Pride), anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, menjalin kerjasama strategik dengan SPX Express (SPX), penyedia perkhidmatan logistik terkemuka, bagi memperkenalkan kemudahan loker pintar pengambilan bungkusan secara layan diri di lima stesen LRT terpilih di Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif Pride, Syed Redza Algadrie berkata, inisiatif itu adalah sebahagian usaha menjadikan stesen LRT lebih daripada sekadar pusat transit.
“Kami di Pride sentiasa mencari kaedah baharu untuk meningkatkan nilai tambah kepada penumpang. Inisiatif ini sejajar dengan visi menjadikan stesen sebagai sebahagian daripada gaya hidup pintar, mesra pengguna dan berfungsi sebagai penghubung,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ketua SPX Express, Cheah Lee Sun pula berkata, kerjasama itu memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna.
“Dengan adanya loker pengambilan sendiri ini, penumpang boleh mengurus pembelian mereka dengan lebih bebas mengikut keselesaan jadual harian,” ujarnya.
Loker pintar berkenaan akan ditempatkan di lima stesen strategik iaitu LRT Lembah Subang, Taman Melati, Bangsar dan Ampang Park di Laluan Kelana Jaya serta Sentul Timur di Laluan Ampang.
Lokasi itu dipilih kerana keterhubungan baik selain menampung jumlah pengguna yang tinggi termasuk pelajar dan golongan profesional.
Kemudahan berkenaan dilengkapi sistem automasi sepenuhnya, kawalan keselamatan menerusi CCTV 24 jam dan boleh diakses sepanjang waktu operasi stesen.
Dengan 284 ruang simpanan pelbagai saiz, ia mampu menampung barangan kecil seperti produk penjagaan diri sehingga bungkusan lebih besar seperti peralatan elektrik kecil.
“Usaha ini bukan sahaja soal kemudahan, malah mencerminkan komitmen Pride memperkukuh peranan pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada ekosistem kehidupan moden rakyat Malaysia,” tambah Syed Redza.
Menurut Pride, maklum balas pengguna daripada fasa percubaan ini akan digunakan untuk menambah baik perkhidmatan, selain rancangan memperluaskan pemasangan loker pintar itu ke lebih banyak stesen dalam rangkaian LRT di Lembah Klang. - DETIK MALAYSIA