Agenda pembangunan Bagan Datuk terus diperkasa

PUTRAJAYA – Agenda pembangunan di Parlimen Bagan Datuk akan terus diperkasa melalui pemantauan berterusan terhadap setiap projek yang sedang dan bakal dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu ditekankan ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Parlimen Bagan Datuk bersama kementerian, agensi pelaksana dan pihak teknikal di sini, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan memberi ruang meneliti projek-projek utama selain memastikan pelaksanaannya mengikut garis masa yang ditetapkan agar manfaatnya dapat dirasai rakyat.

“Antara projek yang sedang berjalan termasuk pembinaan serta penaiktarafan jalan utama Parit 1 hingga Parit 10 yang menghubungkan Jalan FT69, Bagan Datuk serta pembinaan kuarters guru bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk yang kini di peringkat pra-pelaksanaan.

“Saya turut menekankan supaya projek Bandar Baharu Bagan Datuk, Taman Perindustrian dan Fishery dilaksanakan seperti dirancang,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga menerima pembentangan Pelan Induk Pelancongan Daerah Bagan Datuk yang bakal merancakkan sektor pelancongan di kawasan itu.

Katanya, antara cadangan yang dibangkitkan termasuk menjadikan Masjid Tuminah Hamidi sebagai destinasi pelancongan Islam, pembangunan Dataran Niaga Pekan Simpang Tiga serta penyediaan papan tanda arah ke lokasi tumpuan pelancong.

“Alhamdulillah, saya gembira melihat usaha pembangunan ini terus digerakkan demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini. Dengan komitmen semua pihak, agenda pembangunan di Bagan Datuk akan terus diperkukuh,” katanya. - DETIK MALAYSIA

Kredit foto - FB Zahid Hamidi