SINGAPURA – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menggantung penglibatan lima pemain serta dua jurulatih dan seorang pengurus pasukan Thailand daripada semua aktiviti rasmi sepaktakraw di bawah badan itu sehingga prosiding disiplin selesai.
Tindakan tersebut susulan insiden yang berlaku ketika Perlawanan Akhir TM ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026 pada 24 Mei lalu yang menyaksikan Regu Ketiga Thailand didakwa enggan meneruskan perlawanan walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh pegawai perlawanan.
Keputusan memulakan prosiding disiplin itu dibuat Jawatankuasa Disiplin ISTAF dalam mesyuarat pada 19 Jun lalu selepas meneliti laporan dan maklumat berkaitan insiden tersebut.
Lima pemain yang terlibat ialah Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Phutawan Sopa, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart.
Turut dikenakan tindakan ialah dua jurulatih serta pengurus Pasukan Sepaktakraw Kebangsaan Thailand yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.
Menurut ISTAF, notis prosiding disiplin dan surat pertuduhan telah disampaikan secara rasmi menerusi Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) dengan setiap responden diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan jawapan bertulis sebelum pendengaran disiplin dijalankan.

Sementara itu, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, tindakan interim berkenaan bukan satu hukuman, sebaliknya langkah pentadbiran bagi memastikan integriti proses disiplin terus terpelihara.
“Sepaktakraw dibina atas nilai hormat, disiplin, semangat kesukanan dan integriti. Setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang menyertai pertandingan anjuran ISTAF mempunyai tanggungjawab untuk menjunjung nilai-nilai ini serta menghormati kuasa pegawai perlawanan dan peraturan pertandingan.
“Permulaan prosiding disiplin ini mencerminkan komitmen ISTAF untuk melindungi integriti pertandingan sambil memastikan setiap responden menerima perbicaraan yang adil dan tidak berat sebelah selaras dengan Peraturan Disiplin ISTAF,” katanya.
Beliau berkata, semua responden akan diberikan peluang sepenuhnya untuk membela diri mengikut Peraturan Disiplin ISTAF dan prinsip keadilan asasi.
ISTAF menegaskan tidak akan mengulas lanjut mengenai merit kes berkenaan memandangkan prosiding disiplin masih berjalan. – DETIK MALAYSIA