KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan usaha menangani isu pelarian Rohingya perlu memberi tumpuan kepada punca sebenar krisis iaitu penindasan berterusan yang dilakukan rejim Myanmar terhadap komuniti tersebut.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, peningkatan sentimen negatif dan kempen kebencian terhadap pelarian Rohingya di Malaysia kebelakangan ini hanya mengalihkan perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab mencetuskan krisis kemanusiaan berkenaan.
Menurut beliau, Rohingya bukan meninggalkan negara asal secara sukarela, sebaliknya dipaksa melarikan diri akibat penindasan sistematik, keganasan, pembersihan etnik dan penafian hak asasi manusia yang telah berlaku sejak puluhan tahun lalu.
“Isu Rohingya bukan sekadar isu migrasi atau pelarian, tetapi melibatkan penafian kewarganegaraan, diskriminasi institusi, pengusiran paksa dan pelbagai bentuk kekejaman yang telah didokumentasikan oleh badan antarabangsa.
“Menyalahkan mangsa yang melarikan diri daripada penindasan bukanlah penyelesaian. Sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada pihak yang mencipta krisis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, komuniti Rohingya telah dinafikan status kewarganegaraan menerusi Undang-Undang Kewarganegaraan Myanmar 1982 yang menyebabkan mereka menjadi golongan tidak bernegara di tanah kelahiran sendiri.
Katanya, pelbagai laporan antarabangsa turut merekodkan dakwaan pembunuhan orang awam, pembakaran kampung, keganasan seksual, penahanan sewenang-wenangnya dan pemindahan paksa yang dilakukan terhadap komuniti Rohingya.
Sehubungan itu, Mohd Azmi menggesa Malaysia dan negara anggota ASEAN memperhebat tekanan diplomatik terhadap Myanmar bagi memastikan hak kewarganegaraan Rohingya dipulihkan serta diskriminasi terhadap mereka dihentikan.
“Selagi akar permasalahan ini tidak diselesaikan, selagi itulah krisis pelarian akan berterusan dan memberi kesan kepada kestabilan serantau.
“ASEAN juga perlu menilai semula pendekatan yang terlalu berhati-hati atas nama prinsip tidak campur tangan sehingga pelanggaran hak asasi manusia yang serius gagal ditangani secara berkesan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya melihat isu Rohingya melalui perspektif kemanusiaan dan keadilan serta tidak terpengaruh dengan kempen xenofobia dan stereotaip yang boleh memburukkan lagi penderitaan golongan tersebut.
“Jika dunia benar-benar mahu menghentikan kemasukan pelarian Rohingya, maka dunia mesti terlebih dahulu menghentikan penindasan terhadap Rohingya di Myanmar.
“Selagi kezaliman menjadi dasar negara, selagi itulah pelarian akan terus mencari perlindungan di mana sahaja mereka mampu menyelamatkan nyawa,” katanya. – DETIK MALAYSIA