JOHOR BAHRU – Parti BERSAMA mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, pemilihan kerusi dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk latar belakang serta kecenderungan pengundi menerusi kaji selidik dan analisis data yang dijalankan sejak enam bulan lalu.
Selain itu, pertimbangan turut dibuat berdasarkan sambutan terhadap BERSAMA, kesesuaian calon yang dikenal pasti serta kemampuan parti mengendalikan kempen secara berkesan di kawasan terbabit.
“BERSAMA akan bertanding di 15 kerusi dalam PRN Johor 2026.
“Kerusi-kerusi ini dinilai berdasarkan latar belakang dan kecenderungan pengundi, sambutan terhadap BERSAMA, kesesuaian calon serta kemampuan mengendalikan kempen pilihan raya secara berkesan,” menurut kenyataan itu.
Antara kerusi yang akan ditandingi ialah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.
Menurut kenyataan itu, calon-calon BERSAMA akan diumumkan pada Jumaat ini pukul 8 malam di Johor Bahru sempena pelancaran trak kancil parti berkenaan.
“BERSAMA berhasrat untuk merintis kempen pilihan raya moden yang tidak memerlukan perbelanjaan besar dengan mengaktifkan seberapa ramai ahli dan orang ramai dari seluruh negara membantu kempen secara sukarela.
“Bagi BERSAMA, PRN Johor 2026 bukan sahaja medan merebut kerusi dan pangkat untuk orang politik, sebaliknya peluang merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat serta masa depan negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA