MANILA – Sekurang-kurangnya 22 orang dilaporkan maut selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.9 melanda kawasan pesisir Cebu City, wilayah Visayas Tengah, Filipina pada malam Selasa.
Menurut Timbalan Datuk Bandar San Remigio, Alfie Reynes, jumlah korban setakat ini disahkan mencecah 22 orang. Seorang lagi pegawai kerajaan memaklumkan 21 mangsa maut direkodkan di wilayah Cebu, namun angka sebenar masih dalam proses pengesahan.
Gempa bumi yang berlaku pada jam 10 malam (waktu tempatan) itu turut mengakibatkan beberapa bangunan dan infrastruktur runtuh termasuk jambatan, selain menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan. Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 37 orang cedera akibat kejadian tersebut.
Agensi pemantauan gempa bumi antarabangsa merekodkan kedalaman gegaran sekitar 10 kilometer dengan beberapa kali gempa susulan, termasuk yang terkuat bermagnitud 6.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikesan. Agensi seismologi Filipina (Phivolcs) turut memberi amaran mengenai risiko arus laut deras serta perubahan paras air laut, namun notis amaran itu dibatalkan tiga jam kemudian.
Cebu City yang berpopulasi hampir sejuta orang kini berdepan situasi cemas dengan usaha menyelamat masih giat dijalankan.
Filipina yang terletak di Lingkaran Api Pasifik sememangnya kerap berdepan bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi. Pada Januari lalu, dua gempa bumi kuat melanda negara itu tanpa melibatkan korban, manakala pada 2023, gegaran bermagnitud 6.7 di luar pesisir telah meragut lapan nyawa. - DETIK MALAYSIA