KUALA TERENGGANU – Sambutan World Oceans Week (WOW) 2026 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat menerusi 23 program berimpak tinggi yang memfokuskan kepada pemeliharaan dan kelestarian lautan.
Mengangkat tema “Lautan Tenang, Tempat Berpaut”, program bersempena Hari Lautan Sedunia itu menekankan peranan lautan sebagai sumber kehidupan, pemacu ekonomi serta ekosistem penting yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
Penganjuran yang dikendalikan oleh Institut Oseanografi dan Sekitaran Marin (INOS) itu melibatkan penyertaan pelajar, penyelidik, agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti pendidikan, penyelidikan, inovasi, keusahawanan serta kesukarelawanan.
Antara program yang mencuri tumpuan ialah larian Run With Penyu yang merekodkan penyertaan luar biasa seramai 40,000 peserta bagi kategori larian maya di seluruh negara, manakala hampir 3,500 peserta mengambil bahagian dalam acara larian fizikal di kampus UMT.
Selain itu, WOW 2026 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk STEM hijau, pameran interaktif, program keusahawanan Aquapreneur, edutourism, pembersihan pantai, citizen science, ekspedisi marin serta pertandingan antarabangsa UniSail International Challenge.
Naib Canselor UMT, Mohd Zamri Ibrahim berkata, penganjuran WOW 2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti itu dalam memperkasakan ilmu dan kesedaran mengenai kepentingan lautan.
“Lautan bukan sekadar khazanah alam, tetapi merupakan asas kepada kehidupan dan sumber rezeki. Melalui penganjuran WOW 2026 yang merangkumi 23 program, UMT komited memperkukuh kesedaran, meningkatkan ilmu pengetahuan serta menggerakkan tindakan bersama ke arah kelestarian lautan.
“Tema ‘Lautan Tenang, Tempat Berpaut’ menggambarkan hubungan erat antara manusia dan lautan yang perlu dipelihara secara kolektif demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan komuniti dan industri dalam program berkenaan turut membuka ruang kerjasama strategik yang mampu menyokong pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut secara mampan selaras dengan aspirasi ekonomi biru negara.
Penganjuran WOW 2026 sekali lagi mengukuhkan kedudukan UMT sebagai universiti marin unggul dan pusat rujukan kelautan negara dalam usaha memastikan lautan terus terpelihara untuk kesejahteraan manusia dan alam sekitar. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UMT