KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan setiap negara berdaulat mempunyai hak yang sah untuk membangunkan dan mengekalkan keupayaan pertahanan bagi melindungi kedaulatan wilayah, keselamatan negara serta kesejahteraan rakyatnya.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, undang-undang antarabangsa mengiktiraf hak sesebuah negara untuk mempertahankan diri dan tiada negara sepatutnya dikenakan layanan diskriminatif dalam soal keupayaan pertahanan.
Menurut beliau, amalan membenarkan sesetengah negara memiliki keupayaan ketenteraan yang maju, manakala negara lain dinafikan hak untuk memperkukuhkan pertahanan masing-masing adalah tidak wajar.
Mapim berkata, perkembangan mutakhir di Asia Barat menunjukkan negara yang berdepan ancaman luar, pencerobohan ketenteraan, pendudukan atau tekanan politik akan berusaha memperkukuhkan kesiapsiagaan pertahanan mereka.
Katanya, pengalaman yang dialami banyak negara dan rakyat yang menjadi mangsa pencerobohan, penjajahan, pengeboman serta hukuman kolektif membuktikan kepentingan memiliki keupayaan pertahanan yang berwibawa sebagai langkah pencegahan.
Mapim turut mengambil maklum kenyataan Presiden Masoud Pezeshkian bahawa keupayaan pertahanan Iran tidak boleh dirunding dan merupakan elemen penting dalam mempertahankan kedaulatan negara itu.
“Walaupun perbezaan politik antara negara mungkin wujud, prinsip yang lebih besar perlu dihormati iaitu keselamatan antarabangsa mesti diasaskan atas kesaksamaan kedaulatan dan saling menghormati, bukannya sekatan terpilih yang dikenakan oleh kuasa-kuasa besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azmi, masyarakat antarabangsa perlu menolak amalan dwistandard yang membenarkan sesetengah negara mengumpulkan senjata dalam jumlah besar termasuk senjata nuklear, sedangkan negara lain ditekan untuk melaksanakan pelucutan senjata secara unilateral.
Tambahnya, keselamatan serantau dan global hanya dapat dicapai menerusi penghormatan terhadap kedaulatan negara, tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain, pelaksanaan undang-undang antarabangsa secara adil serta usaha pelucutan senjata yang menyeluruh dan tidak diskriminatif.
Pada masa sama, beliau menegaskan keupayaan ketenteraan hendaklah digunakan untuk tujuan pertahanan dan dilaksanakan secara bertanggungjawab selaras dengan undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan sejagat.
“Keselamatan sesebuah negara tidak boleh dibina di atas ketidakselamatan negara lain. Tatanan dunia yang adil menuntut penghormatan yang sama terhadap kedaulatan, maruah dan hak pertahanan semua bangsa,” katanya. – DETIK MALAYSIA