KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyifatkan perang terhadap Iran sebagai konflik yang dibina atas pembohongan, ketakutan, dakwaan ancaman yang dibesar-besarkan serta penggunaan risikan terpilih bagi menghalalkan tindakan ketenteraan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi itu mengingatkan dunia kepada Perang Iraq pada 2003 yang dilancarkan atas dakwaan kewujudan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), namun senjata berkenaan tidak pernah ditemui.
Menurut beliau, peperangan itu menyebabkan jutaan penduduk menjadi mangsa, manakala Asia Barat terus menanggung kesan akibat peperangan yang didakwa berpunca daripada maklumat tidak tepat, risikan lemah dan manipulasi politik.
“Pada hari ini, ramai pemerhati bimbang sejarah sedang berulang.
“Dakwaan mengenai niat, keupayaan dan ancaman segera yang kononnya datang daripada Iran sekali lagi digunakan bagi menghalalkan konfrontasi ketenteraan berbanding usaha diplomasi dan penglibatan secara aman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, konsep “perang pencegahan” dan “ancaman kewujudan” kembali mendominasi wacana politik walaupun peperangan yang dilancarkan berdasarkan andaian meragukan jarang menghasilkan keputusan seperti dijanjikan.
Katanya, peperangan sedemikian bukan sahaja gagal mengukuhkan keselamatan, malah berpotensi mencetuskan ketidakstabilan, meningkatkan ketegangan serantau, mengukuhkan gerakan penentangan serta menjejaskan kepercayaan terhadap institusi antarabangsa.
Menurut beliau, konflik dengan Iran berisiko menjadi antara kesilapan dasar luar terbesar dalam sejarah moden Amerika Syarikat.
“Malah, tekanan ketenteraan terhadap Iran dilihat lebih banyak menyatukan rakyat negara itu, mengukuhkan semangat dalaman serta meningkatkan sokongan terhadap kebergantungan strategik sendiri.
“Sejarah berulang kali menunjukkan bahawa negara yang berdepan serangan luar lazimnya akan bersatu mempertahankan kedaulatan dan maruah negara,” katanya.
Beliau berkata, kos kewangan akibat peperangan itu amat besar, manakala kesan kemanusiaannya tidak dapat diukur serta implikasi geopolitiknya mungkin berpanjangan sehingga beberapa generasi.
Tambahnya, dasar luar yang bergantung kepada paksaan ketenteraan berbanding diplomasi hanya akan membawa kepada kegagalan strategik kerana tiada negara mampu memperoleh legitimasi atau memaksakan keputusan politik selama-lamanya melalui kekuatan ketenteraan.
“Pengajaran daripada peperangan di Afghanistan dan Iraq sepatutnya sudah memadai sebagai amaran.
“Dunia tidak memerlukan satu lagi generasi yang dibentuk oleh peperangan, sekatan dan kemusnahan, sebaliknya memerlukan diplomasi, saling menghormati serta komitmen terhadap keamanan.
“Sejarah akhirnya akan menilai bukan siapa yang memiliki senjata paling berkuasa, tetapi siapa yang mengabaikan peluang untuk mencapai keamanan.
“Jika perang terhadap Iran benar-benar dibina atas andaian palsu dan ancaman yang dibesar-besarkan, sejarah mungkin akan mengingatinya sebagai antara kesilapan strategik paling mahal pernah dilakukan oleh sebuah pentadbiran Amerika Syarikat.
“Empayar sering percaya mereka sedang membentuk sejarah, namun hakikatnya sejarah sedang bersedia untuk menghakimi mereka,” katanya. – DETIK MALAYSIA
