Pameran oleh Jabatan Atom Malaysia turut menarik perhatian pengunjung cilik untuk turut sama meneroka dunia sains nuklear.
KUALA TERENGGANU – Suasana luar biasa menyelubungi Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur apabila ribuan pengunjung membanjiri Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) sepanjang tiga hari penganjuran, menjadikan Kuala Terengganu seakan pesta ilmu dan inovasi.
Sejak pintu dibuka pada hari pertama, aliran pengunjung tidak pernah putus. Jumlah keseluruhan mencecah 20,419 orang, dengan kemuncak pada hari terakhir apabila 8,396 pengunjung hadir sehingga menjadikan PSKT sesak dengan gelombang manusia yang datang dari pelbagai latar.

Hari pembukaan merekodkan 6,886 pengunjung, manakala hari kedua 5,137 orang, menandakan minat yang semakin memuncak hingga ke penghujung acara.
Kehadiran ini melonjak 68 peratus berbanding edisi 2025 yang mencatat 12,185 pengunjung, sekali gus mengangkat penganjuran kali ini sebagai antara yang paling berjaya di Zon Timur.

“Rekod baharu ini membuktikan usaha PSKT dalam mempromosikan Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur telah mencapai sasaran. Malah, jumlah kehadiran kali ini melepasi sasaran awal sekitar 15,000 pengunjung dengan pencapaian jauh lebih tinggi daripada jangkaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.
Beliau menambah, sebahagian besar pengunjung datang dari komuniti luar bandar – murid sekolah, generasi muda dan keluarga – yang menjadikan acara ini bukan sekadar pameran, tetapi jambatan ilmu yang merapatkan jurang akses sains di Pantai Timur.



Selain pameran interaktif oleh agensi berkaitan, program advokasi turut mendapat sambutan hangat dengan penyertaan pelbagai agensi negeri dan ahli akademik yang hadir untuk bertukar pandangan.
Sebanyak 35 agensi termasuk kementerian dan institusi berkaitan berkampung di Kuala Terengganu sepanjang tiga hari, menjadikan PSKT bukan sekadar tuan rumah, tetapi mercu tanda penyebaran ilmu sains dan inovasi yang semakin kukuh di Pantai Timur.
