Oleh Bazli Razak
TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh usaha mengiktiraf kecemerlangan dan kemenjadian mahasiswa menerusi penganjuran Majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) UPSI 2025 yang memberi penghargaan
kepada pelajar atas pencapaian cemerlang mereka dalam aktiviti kokurikulum, kepimpinan dan pembangunan sahsiah.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata, ATS UPSI yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Ketrampilan Pelajar (AKP) telah dijenamakan semula selaras dengan penjenamaan Anugerah Tokoh Siswa Negara di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut beliau, anugerah berprestij yang menjadi program ‘signature’ Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) itu dianjurkan setiap tahun bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada mahasiswa yang menunjukkan pencapaian cemerlang menerusi penglibatan aktif dalam badan pelajar, kelab dan persatuan di UPSI.
“ATS UPSI turut menjadi medan penghargaan kepada penasihat badan pelajar yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pelbagai program dan aktiviti pelajar di universiti,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa UPSI 2025 di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada Rabu lalu.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Beliau berkata, kejayaan mahasiswa UPSI di peringkat kebangsaan sebelum ini membuktikan kualiti dan potensi mahasiswa universiti tersebut, antaranya Ng Zhen Fan Shankar yang pernah merangkul Anugerah Tokoh Siswa Negara serta Saudara Abbas Ali Iftikhar Hussain yang memenangi Anugerah Tokoh Kelestarian Siswa Negara 2024.
Pada majlis itu, sebanyak 15 anugerah disampaikan kepada pelajar yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam kegiatan badan pelajar sepanjang tahun 2025.
Kategori anugerah yang dipertandingkan ialah Tokoh Sukarelawan, Tokoh Komuniti Siswa, Tokoh Inklusif, Tokoh Kepimpinan, Tokoh Kelestarian, Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa, Tokoh Perpaduan Siswa, Tokoh Wira Bicara Siswa, Tokoh Seni dan Warisan Siswa, Tokoh Sukan dan Rekreasi Siswa, Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa, Tokoh Usahawan
Siswa, Tokoh Siswa UPSI, Penghargaan Khas Timbalan Naib Canselor (HEP&A) UPSI dan Penghargaan Khas Naib Canselor.
Anugerah utama yang menjadi tumpuan ialah Anugerah Tokoh Siswa UPSI 2025 dinobatkan kepada Abbas Ali Iftikhar Hussain dari Fakulti Sains dan Matematik yang membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi utama dan sijil penghargaan.
Abbas Ali merupakan pengasas Eco-Educators Malaysia serta penerima Anugerah Tokoh Kelestarian Siswa Negara 2024. Di peringkat UPSI, beliau turut menerima Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman UPSI 2024, Anugerah Tokoh Harapan Fakulti Sains dan Matematik 2024 serta Anugerah Pemimpin Wacana Intelek Kolej Kediaman 2024.
Selain cemerlang dalam bidang kepimpinan dan inovasi, beliau juga aktif dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah dengan menjadi penulis utama bagi penerbitan jurnal berindeks Scopus Q4 serta penulis bersama bagi penerbitan jurnal berindeks Scopus Q1. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI
