TANJUNG MALIM – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fawwaz dari Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi mengharumkan nama negara apabila meraih tempat ketiga pada kejohanan Adobe Certified Professional World Championship yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kejayaan itu membuktikan kecemerlangan mahasiswa universiti berkenaan di peringkat antarabangsa dalam bidang perkomputeran dan teknologi.
“Tahniah buat Adik Fawwaz dari Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi yang telah meraih tempat ketiga dalam kejohanan Adobe Certified Professional World Championship di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Pertandingan yang amat berprestij dan kompetitif ini telah disertai oleh lebih 5,000 peserta dari lebih 50 negara di seluruh dunia. Kemenangan Adik Fawwaz membuktikan kecemerlangan mahasiswa UPSI di peringkat antarabangsa dalam bidang perkomputeran dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan Malaysia bertambah manis apabila seorang lagi peserta, Naffiz dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, turut meraih tempat keempat serta memenangi anugerah People’s Choice Award.
Menurutnya, tiga pengiktirafan utama yang diraih pada kejohanan bertaraf antarabangsa itu membuktikan mahasiswa UPSI, UiTM dan Malaysia mampu bersaing serta cemerlang dalam arena komputer dan teknologi di peringkat dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Naib Canselor UPSI
