TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Yayasan MR. D.I.Y. bagi memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pelaksanaan Program Perak Metamorphosis of Young STEMers (PMOYST).
Majlis pemeteraian itu berlangsung di Bilik Seminar Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI.
Naib Canselor UPSI berkata, kerjasama strategik itu membuktikan komitmen bersama antara institusi pendidikan tinggi dan sektor korporat dalam memperluaskan akses pendidikan STEM kepada generasi muda.
“Kerjasama strategik ini merupakan manifestasi komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan STEM melalui pelaksanaan Program Perak Metamorphosis of Young STEMers (PMOYST),” katanya.
Menerusi tajaan berjumlah RM113,995 daripada Yayasan MR. D.I.Y., program itu dijangka dapat memperluaskan akses pendidikan STEM kepada generasi muda selain menyemai minat terhadap bidang berimpak tinggi yang menjadi pemacu pembangunan negara.
Menurutnya, pemeteraian MoA tersebut turut mencerminkan sinergi erat antara institusi pendidikan tinggi dan sektor korporat dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran, inovatif serta berdaya saing demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI
