BANGKOK – Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Nualphan Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Pang, mengumumkan ganjaran berjumlah 2 juta baht (kira-kira RM244,403) sekiranya skuad Gajah Perang muncul juara Kumpulan B dalam saingan Piala ASEAN Hyundai 2026.
Insentif itu diumumkan susulan permulaan cemerlang Thailand yang mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan, termasuk membelasah Laos 5-0 sebelum menewaskan Malaysia 2-0 di Stadium Rajamangala.
Menurut Madam Pang, beliau cukup kagum dengan semangat juang dan keinginan tinggi dipamerkan pemain muda Thailand meskipun pasukan itu tidak dibarisi beberapa tonggak utama kerana kejohanan berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA.
“Apa yang paling mengagumkan saya ialah semangat, komitmen dan keinginan pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya.
Beliau turut memuji Yotsakorn Burapha yang tenang menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Malaysia, selain Teerasak Poeiphimai yang berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut.
Pada masa sama, Madam Pang menyifatkan rekod tanpa bolos Thailand turut dipengaruhi pengalaman pemain senior seperti Sarach Yooyen, Kampon Pathamarakkul dan Manuel Tom Bihr yang memainkan peranan penting membimbing barisan muda.
Sebagai suntikan semangat menjelang aksi terakhir kumpulan, beliau menjanjikan bonus 2 juta baht sekiranya Thailand menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan B sekali gus mara ke separuh akhir.
Thailand kini bersedia menghadapi Filipina dalam aksi penting Kumpulan B di Stadium Olahraga New Clark City, Capas, pada 4 Ogos. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FA Thailand
