BANGKOK – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) terus mengorak langkah memperkukuh kedudukan sukan itu di peringkat global apabila merancang penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Afrika dengan 17 negara di benua tersebut sudah menyatakan minat untuk membangunkan sukan berkenaan.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Nigeria menjadi antara negara terawal yang bekerjasama rapat dengan badan induk itu bagi memperkenalkan sepak takraw di peringkat kebangsaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pengurus Pasukan sempena Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai Dunia ISTAF Ke-39 2026 di sini, semalam.
Terdahulu, Abdul Halim mengajak semua delegasi bertafakur selama seminit bagi mengenang pemergian bekas Presiden ISTAF, Allahyarham Jeneral Charouck Arirachakaran yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam pembangunan sepak takraw sehingga Thailand muncul sebagai antara kuasa besar dunia.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Alliance of Independent Recognised Members of Sport (AIMS), Stephan Fox atas sokongan berterusan selama 16 tahun dalam usaha memperluaskan pengiktirafan antarabangsa terhadap sepak takraw.
Menurutnya, ISTAF turut memberi tumpuan kepada tiga inisiatif strategik bagi memperkukuhkan pembangunan sukan tersebut di peringkat global.
“Antaranya ialah penubuhan Yayasan General Charouck Arirachakaran bagi memelihara legasi sukan ini, penambahbaikan Sistem Cabaran Kamera berasaskan teknologi Video Assistant Referee (VAR) dalam bola sepak untuk meningkatkan ketepatan pengadilan serta pelaksanaan proses bidaan yang lebih telus bagi hak penganjuran kejohanan antarabangsa pada masa depan,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Halim menyifatkan penyertaan kira-kira 700 atlet dan pegawai dari 19 negara pada kejohanan kali ini sebagai bukti jelas bahawa sepak takraw terus berkembang dan mendapat pengiktirafan lebih meluas di seluruh dunia.
Katanya, perkembangan positif itu mencerminkan kekuatan, perpaduan serta hala tuju jangka panjang ISTAF dalam memartabatkan sepak takraw sebagai sukan bertaraf global. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Asian Sepaktakraw Federation – ASTAF
