KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia lingkungan 50-an hari ini tampil ke Ibu Pejabat Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA untuk mendapatkan bantuan selepas anak lelakinya ditahan pihak polis di Macau kerana disyaki membawa dadah.
Menurut laporan Xin Hua Ao Bao, penahanan tersebut merupakan antara rampasan ganja terbesar dalam sejarah Macau, melibatkan 30 kilogram ganja kering bernilai kira-kira 30 juta pataca (sekitar RM17.7 juta) di pasaran gelap.
Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Leong berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya pada 1 Oktober lalu memaklumkan bahawa anak bongsunya telah ditahan di Macau, namun punca penahanan tidak dijelaskan pada awalnya.
“Selepas saya cuba mendapatkan maklumat lanjut, barulah saya tahu anak saya ditangkap pada 28 September lalu kerana disyaki membawa ganja ke Macau,” katanya ketika ditemui di pejabat MCA pada Selasa.
Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, insiden seperti ini semakin kerap berlaku akibat penipuan iklan kerja palsu yang menawarkan gaji lumayan di luar negara.
“Sejak kebelakangan ini, banyak iklan di media sosial menjanjikan pendapatan tinggi dengan tugas mudah seperti ‘bawa barang’ ke luar negara. Namun di sebalik tawaran tersebut, ada sindiket penyeludupan dadah yang mempergunakan individu tidak bersalah sebagai keldai dadah,” katanya.
Beliau turut memberi amaran agar orang ramai tidak mudah percaya dengan tawaran kerja kononnya ‘bawa produk kosmetik atau suplemen’ ke luar negara kerana ia mungkin muslihat sindiket dadah.
“Sekali ditahan, sama ada sedar atau tidak tentang barang yang dibawa, mereka tetap boleh berdepan hukuman berat termasuk penjara panjang atau hukuman mati,” katanya.
Michael Chong juga menasihatkan ahli keluarga mangsa supaya berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang mendakwa diri mereka sebagai peguam di luar negara.
“Pastikan peguam yang dilantik disahkan melalui kedutaan atau boleh dirujuk kepada Kementerian Luar bagi mengelak penipuan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pihaknya kini menerima semakin banyak aduan kes serupa melibatkan rakyat Malaysia yang terpedaya dengan iklan kerja palsu di media sosial.
“Sekiranya sesuatu tawaran kerja kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, itu tandanya ia berisiko tinggi. Jangan kerana tamak gaji besar, akhirnya meragut kebebasan sendiri,” katanya. - DETIK MALAYSIA