KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyampaikan ucapan takziah dan solidariti kepada kerajaan serta rakyat Nepal susulan bencana banjir besar yang meragut banyak nyawa dan menyebabkan ratusan mangsa masih hilang.
Dalam kenyataan hari ini, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bencana berkenaan melanda kawasan berhampiran sempadan Tibet pada 26 Ogos lalu susulan keruntuhan glasier yang mencetuskan aliran deras air, batu dan serpihan.
Katanya, kejadian itu mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan lembah sungai apabila rumah, jalan raya, jambatan serta infrastruktur penting dihanyutkan arus deras.
“Polis Nepal melaporkan 162 kematian disahkan setakat 27 Ogos, manakala operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.
“Jumlah korban dijangka berubah apabila pasukan penyelamat berjaya memasuki lebih banyak kawasan yang terjejas,” katanya.
Menurut beliau, MAPIM turut merakamkan kebimbangan terhadap nasib mangsa yang masih hilang, cedera atau kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.
“Kami berdoa agar mereka yang masih belum ditemui ditemukan dalam keadaan selamat serta pasukan penyelamat diberikan kekuatan, keselamatan dan kejayaan dalam operasi yang mencabar ini,” katanya.
Mohd Azmi berkata, pihaknya turut mengiktiraf pengorbanan pasukan kecemasan, anggota keselamatan, petugas perubatan, sukarelawan dan masyarakat tempatan yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa serta menyalurkan bantuan kecemasan.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa komuniti kemanusiaan antarabangsa tampil membantu Nepal dalam menghadapi situasi kritikal berkenaan.
“Skala kemusnahan memerlukan sokongan antarabangsa yang diselaraskan, khususnya dalam aspek operasi mencari dan menyelamat, bantuan perubatan kecemasan, penempatan sementara, makanan, bekalan air bersih serta pemulihan infrastruktur penting,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan MAPIM yang komited terhadap perlindungan nyawa dan maruah manusia berdiri teguh bersama rakyat Nepal.
Katanya, penderitaan akibat bencana alam tidak mengenal sempadan, bangsa mahupun agama dan setiap kehilangan nyawa merupakan tragedi yang memerlukan tindak balas berasaskan belas kasihan serta tanggungjawab bersama.
MAPIM turut menggesa kerajaan dan organisasi kemanusiaan memperkukuh kerjasama dalam aspek kesiapsiagaan bencana serta sistem amaran awal, khususnya di kawasan pergunungan yang berisiko.
“Ketidakstabilan sistem glasier Himalaya yang semakin meningkat menimbulkan risiko kemanusiaan serius dan memerlukan kesiapsiagaan serantau, kerjasama saintifik serta pelaburan lebih besar dalam membina komuniti berdaya tahan,” katanya.
Mohd Azmi turut mendoakan agar mangsa yang terkorban mendapat rahmat, mereka yang cedera diberikan kesembuhan, manakala pasukan penyelamat serta keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi tragedi berkenaan. – DETIK MALAYSIA
