Dari kanan - Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira(dua dari kanan) ditemani oleh ibunya sendiri Rohana Hassan @ Safie(kanan) bersama Rektor UC TATI Prof. Ir. Dr Hairul Azhar Abdul Rashid(berbaju hijau) dan ketua jurulatih olahraga Majlis Sukan Sekolah Negeri Terengganu Khairul Azman Adenan(tiga dari kiri) sewaktu hadir ke UC TATI Kampus Bandaraya Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU – Tidak sampai sebulan selepas mencipta kejutan muncul ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira sudah memulakan langkah seterusnya dengan memilih laluan akademik yang dilihat mampu bergerak seiring kariernya sebagai atlet.
Atlet berusia 18 tahun itu kini bergelar pelajar Kolej Universiti TATI (UC TATI) selepas mendaftarkan diri bagi mengikuti Diploma Sains Sukan dan Rekreasi yang dijadual memulakan sesi pengajian pada September ini.
Menurut Izzatul Musfirah, terdapat beberapa pilihan institusi pengajian tinggi (IPT) yang boleh dipertimbangkan termasuk di dalam dan luar negara, namun faktor sokongan terhadap karier sukannya menjadi antara pertimbangan utama dalam membuat keputusan.
“Tidak dinafikan terdapat lain-lain pilihan untuk saya menyambung pengajian sama ada di dalam negara mahupun di luar negara namun pilihan IPT yang boleh menyokong saya dalam karier sukan adalah tumpuan utama ketika ini,” ujar beliau yang juga merupakan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Terengganu setelah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 9A pada April tahun ini.
Pilihan berkenaan turut mendapat sokongan UC TATI yang menyediakan pendekatan pengajian secara inklusif bagi membantu atlet menyeimbangkan tuntutan akademik dengan komitmen latihan dan pertandingan.
Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, pendekatan itu membolehkan atlet sepenuh masa dan separuh masa meneruskan pengajian tanpa perlu menangguh pembelajaran sekiranya terikat dengan program latihan atau kejohanan.
“Terkini terdapat atlet yang juga pelajar di UC TATI ini berjaya menamatkan pengajian sebelum SUKMA Selangor 2026 itu bermula malah atlet ini juga di antara atlet yang menaiki podium untuk pingat masing-masing. Ianya memberi satu penanda aras buat atlet yang berjaya menamatkan pelajaran itu sendiri dan juga untuk kami dari UC TATI ini.
“Kami memahami keperluan setiap atlet yang perlu memberi komitmen tinggi untuk membahagikan jadual di antara program latihan dan kelas pembelajaran masing-masing. Oleh itu sistem pengajian di UC TATI ini diolah sebaik mungkin mengikut acuan keperluan atlet-atlet yang menyambung pengajian di sini,” berkata Prof. Ir. Dr Hairul Azhar Abdul Rashid.
Antara atlet UC TATI yang menamatkan pengajian sebelum SUKMA Selangor 2026 bermula ialah pemenang pingat emas angkat berat Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri serta Muhammad Fahrin Aiman Yusmizan yang mencipta sensasi dengan meraih dua emas menerusi acara 5,000 meter dan 3,000 meter.
Program Diploma Sains Sukan dan Rekreasi yang mula ditawarkan UC TATI pada 2025 itu juga semakin menjadi pilihan dalam kalangan atlet dari Terengganu dan negeri-negeri lain.
Izzatul Musfirah menjadi antara pelajar baharu yang akan memulakan pengajian bagi sesi September ini, selepas menutup tirai SUKMA Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan dalam acara olahraga.
