BANDUNG – Thailand menamatkan rentetan 27 perlawanan antarabangsa tanpa kalah Vietnam selepas mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan B Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Si Jalak Harupat, di sini semalam.
Kemenangan itu turut mengesahkan kemaraan Thailand ke pentas final Piala ASEAN FIFA 2026 dengan satu perlawanan kumpulan masih berbaki.
Skuad kendalian Anthony Hudson kini mengumpul dua kemenangan daripada dua perlawanan, sekali gus memastikan tempat ke final tanpa mengira keputusan aksi terakhir menentang Filipina pada 2 Oktober ini.
Vietnam hadir ke Bandung dengan rekod 27 perlawanan tanpa kalah yang bermula sejak tewas kepada Thailand dalam aksi persahabatan pada September 2024.
Rentetan itu turut menyaksikan Vietnam berjaya mempertahankan kejuaraan ASEAN Hyundai Cup ketika menewaskan Thailand beberapa minggu lalu sebelum membuka kempen Piala ASEAN FIFA dengan keputusan positif menentang Filipina.
Thailand bagaimanapun memulakan perlawanan dengan garang apabila membuka jaringan pada minit kesembilan menerusi Sarach Yooyen.
Gol itu terhasil selepas hantaran Supachai Jaided ke dalam kotak penalti terkena pertahanan Vietnam sebelum bola jatuh ke laluan Sarach yang melepaskan rembatan kaki kanan untuk menewaskan penjaga gol Vietnam.
Vietnam hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-37 apabila Nguyen Tai Loc berjaya melepasi pertahanan Thailand sebelum melakukan lambungan ke atas Saranon Anuin.
Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan selepas Video Assistant Referee (VAR) mengesan kedudukan ofsaid.
Thailand terus mengasak selepas rehat dan hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-52, namun sepakan percuma Sarach hanya menggegar tiang gol.
Hudson kemudian melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menyegarkan jentera serangan Thailand sebelum usaha itu membuahkan hasil pada masa kecederaan.
Pada minit ke-90+3, Anan Yodsangwan melorongkan hantaran yang memecahkan pertahanan Vietnam kepada Chaiyapol Odton.
Chaiyapol kemudian melepasi pertahanan sebelum menyudahkan peluang dengan tenang untuk memastikan Thailand menang 2-0.
Kemenangan itu menyaksikan Thailand mengesahkan tempat ke final selepas memenangi kedua-dua perlawanan kumpulan setakat ini.
Thailand akan menutup kempen Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Si Jalak Harupat pada 2 Oktober ini, manakala Vietnam akan berdepan Pakistan pada tarikh sama. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FA THAILAND
