KUALA LUMPUR – Tiga pelumba muda negara bakal meneruskan cabaran pada Pusingan 3 Kejuaraan Idemitsu Moto4 Asia Cup di Mobility Resort Motegi, Jepun hujung minggu ini.
Ketiga-tiga pelumba Malaysia itu hadir dengan misi untuk meneruskan momentum positif selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada pusingan terdahulu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ogos lalu.
Tumpuan terarah kepada pelumba berusia 14 tahun, Qayyim Razin yang tampil penuh keyakinan selepas meraih kemenangan berganda di Sepang.
Qayyim mengutip 50 mata maksimum di Sepang dan kini menduduki tempat keempat keseluruhan kejuaraan dengan 50 mata.
“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan perlumbaan di Jepun. Semangat daripada kemenangan berganda di Sepang masih membara dan memberikan motivasi tambahan untuk memburu podium sekali lagi.
“Sepanjang hampir dua bulan tanpa perlumbaan Moto4, saya fokus sepenuhnya meningkatkan kecergasan fizikal serta menambah masa latihan menggunakan jentera.
“Persiapan rapi sudah dilakukan dan saya bersedia memberikan aksi terbaik di Motegi,” katanya.
Sementara itu, penyertaan Qabil Irfan di Motegi masih belum dapat dipastikan apabila pelumba itu perlu menunggu keputusan pemeriksaan perubatan bagi mendapatkan kelulusan kembali beraksi.
Qabil kini berada di tempat ketiga keseluruhan dengan 62 mata dan masih dalam fasa pemulihan kecederaan kaki.
Dia bagaimanapun sudah menjalani empat sesi latihan menggunakan motosikal sebagai sebahagian daripada persiapan untuk kembali ke litar.
“Keutamaan saya sekarang adalah lulus pemeriksaan doktor. Dari segi mental dan fizikal, saya sudah bersedia dan sesi latihan sebelum ini membuktikan saya masih mampu mengawal jentera dengan baik walaupun belum pulih sepenuhnya.
“Saya tidak mahu kehilangan mata penting dalam kejuaraan ini. Jika mendapat kebenaran untuk berlumba, saya akan memberikan segala-galanya bagi mengutip mata,” katanya.
Seorang lagi wakil negara, Muhammad Naqib Rifqi pula melakukan persiapan lebih menyeluruh termasuk menjalani program kecergasan dan mengurangkan berat badan bagi meningkatkan prestasinya.
“Saya sangat bersemangat untuk menghadapi pusingan di Jepun. Sepanjang tempoh rehat dua bulan, saya bekerja keras dalam latihan motosikal dan turut meningkatkan kecergasan.
“Untuk bersaing dengan lebih berkesan bersama pelumba lain yang mempunyai fizikal lebih kecil, saya mengamalkan diet tertentu dan berjaya menurunkan tiga kilogram.
“Saya yakin dengan persiapan ini dan berazam memberikan saingan sengit dalam kelompok hadapan,” katanya.
Ketika ini, kejuaraan diketuai pelumba Jepun, Hayato Chisiki dengan 70 mata, diikuti Waku Kunitate (64 mata), Qabil (62) dan Qayyim (50).
Pusingan di Motegi bakal menjadi medan penting buat trio muda negara itu untuk mengumpul mata selain merapatkan jurang dengan kelompok pendahulu kejuaraan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
