PETALING JAYA – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak negara berhubung kontroversi pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu.
Beliau berkata, permohonan maaf itu dibuat bagi pihak keseluruhan Jawatankuasa Eksekutif FAM, selain memberi jaminan isu seumpama itu tidak akan berulang sepanjang tempoh kepimpinannya.
“Saya mewakili keseluruhan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada hari ini memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak Malaysia berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu.
“Saya memberi komitmen bahawa sepanjang tempoh saya memimpin FAM, perkara atau isu seperti ini tidak akan dibenarkan berlaku lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Keenam bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ab Ghani berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pasport tujuh pemain berkenaan.
Menurutnya, urusan berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport berada di luar bidang kuasa FAM.
“Jadi, kita akan mendapatkan penjelasan dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya.
Tujuh pemain yang menjadi perhatian dalam kontroversi itu ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Isu kelayakan mereka sebelum ini menjadi perhatian susulan siasatan pihak berkaitan, manakala FIFA mengenakan penggantungan selama 12 bulan terhadap pemain terbabit.
FAM turut dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Switzerland.
Kesemua pemain berkenaan kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), yang memuktamadkan keputusan pada 5 Mac 2026.
CAS mengekalkan penggantungan 12 bulan daripada perlawanan rasmi, dengan mengambil kira tempoh hukuman yang telah dijalani antara 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026. – DETIK MALAYSIA
