KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan negara menyiasat kemungkinan wujud dalang luar yang mencetuskan kempen kebencian serta sentimen xenofobia terhadap pelarian Rohingya di Malaysia.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya memandang serius peningkatan naratif kebencian, fitnah dan penyebaran maklumat palsu terhadap komuniti berkenaan di pelbagai platform media sosial.
Menurut beliau, siasatan perlu turut menjurus kepada kemungkinan penglibatan elemen pelampau etnik Rakhine dari Myanmar yang didakwa mahu memastikan masyarakat Rohingya terus ditolak dan dipinggirkan di mana sahaja mereka mencari perlindungan.
“MAPIM memandang serius peningkatan mendadak naratif kebencian, fitnah dan penyebaran maklumat palsu di pelbagai platform media sosial.
“Kempen yang tersusun ini dilihat mempunyai corak yang sangat mirip dengan propaganda yang pernah digunakan untuk mencetuskan pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai terhadap komuniti Rohingya di Wilayah Rakhine, Myanmar sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat kebimbangan berasas bahawa gerakan terancang oleh kumpulan nasionalis atau pelampau Rakhine mungkin cuba memastikan etnik Rohingya ditolak, dipinggirkan dan dinafikan keselamatan mereka termasuk di Malaysia.
Katanya, sentimen anti-Rohingya yang dieksploitasi menerusi platform dalam talian juga berisiko menjejaskan ketenteraman awam serta menghakis nilai kemanusiaan masyarakat tempatan.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap jejak digital akaun media sosial yang secara konsisten menyebarkan provokasi melampau.
“Siasatan perlu mengenal pasti sama ada terdapat pendanaan, penggunaan bot atau arahan yang berpangkalan dari luar negara atau mempunyai kaitan dengan rangkaian geopolitik Myanmar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta PDRM mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan ketegangan kaum dan menyebarkan berita palsu mengikut undang-undang berkaitan.
MAPIM turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan kandungan media sosial yang cuba melabel keseluruhan komuniti pelarian sebagai ancaman keselamatan.
“Isu pelarian adalah krisis kemanusiaan rentas sempadan yang memerlukan penyelesaian dasar dan diplomatik yang bijak, bukannya melalui tindakan emosi atau permusuhan,” katanya.
Tambah beliau, sokongan Malaysia terhadap isu kemanusiaan dan keadilan antarabangsa tidak seharusnya terjejas akibat kempen persepsi negatif yang didakwa diimport dari luar bagi memenuhi agenda geopolitik pihak tertentu di Myanmar. – DETIK MALAYSIA
