KUALA LUMPUR – Kementerian dan agensi berkaitan digesa memperkukuhkan kawalan serta tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta jenayah rentas sempadan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
Seri Paduka Baginda bertitah, langkah berkenaan penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara daripada ancaman kegiatan jenayah rentas sempadan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang berlangsung lebih satu jam di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), selain isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Berhubung perkara berkenaan, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Malah, Seri Paduka Baginda bertitah siasatan perlu dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
Langkah itu juga penting bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO). – DETIK MALAYSIA
