LIVERPOOL – Liverpool membuat kejutan dalam jendela perpindahan musim panas apabila dilaporkan mencapai persetujuan dengan Barcelona untuk mendapatkan khidmat pertahanan tengah Uruguay, Ronald Araujo.
Menurut laporan pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano, The Reds berjaya mengikat Araujo selepas melalui proses rundingan yang agak panjang bersama gergasi La Liga itu.
Liverpool sememangnya sedang memburu pertahanan tengah baharu selepas Ibrahima Konate memutuskan untuk berpindah ke Real Madrid pada musim panas ini.
Beberapa nama pertahanan tengah sebelum ini dikaitkan dengan Liverpool, namun belum ada pemain di posisi berkenaan yang menyertai kelab itu.
Dalam perkembangan terbaharu, Liverpool dilaporkan berjaya mencapai kata sepakat dengan Barcelona untuk membawa Araujo ke Anfield.
Berdasarkan laporan Romano, Araujo akan menyertai Liverpool secara pinjaman selama satu musim penuh.
Dalam perjanjian berkenaan, Liverpool turut mempunyai pilihan untuk membeli pemain itu secara kekal pada penghujung tempoh pinjaman.
Pengarah Sukan Barcelona, Deco dilaporkan sudah memberikan lampu hijau terhadap perpindahan tersebut, sekali gus membuka laluan buat kapten pasukan Catalan itu menyertai Liverpool dalam masa terdekat.
Terbang ke England
Araujo dijangka terbang ke England dalam tempoh 24 jam bagi menjalani pemeriksaan perubatan sebagai pemain Liverpool.
Selepas proses berkenaan selesai, dia akan diperkenalkan kepada umum sebagai rekrut baharu The Reds sebelum menyertai rakan sepasukannya dalam sesi pramusim yang dikendalikan Andoni Iraola.
Rekrut ketiga
Jika perpindahan itu dimuktamadkan, Araujo bakal menjadi pemain ketiga yang dibawa masuk Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini.
Sebelum ini, The Reds sudah mendapatkan Jeremy Jacquet dan Victor Munoz bagi memperkuatkan skuad menjelang saingan musim 2026/2027. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Fabrizio Romano
