PASIR MAS – Impian seorang anak tukang rumah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti berdepan kekangan kewangan apabila keluarganya tidak mampu menyediakan keperluan pendaftaran.
Anis, anak keempat daripada tujuh beradik, berjaya memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor.
Namun, kegembiraan menerima tawaran itu bertukar kebimbangan apabila Anis perlu menyediakan RM2,143 bagi bayaran yuran pendaftaran.
Selain yuran, dia turut memerlukan sebuah komputer riba serta kelengkapan diri dan pengajian sebagai persediaan memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
Bapanya, Azmi yang bekerja sebagai tukang rumah hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 sebulan untuk menampung keperluan harian serta persekolahan anak-anak.
Lebih memilukan, ibu Anis, Shariffah mengalami kelumpuhan separuh badan akibat strok sejak dua tahun lalu dan perlu berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
Dalam keluarga itu, anak sulung pula bekerja sebagai penghantar barang, manakala anak kedua merupakan orang kurang upaya (OKU).
Tiga lagi adik Anis masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah.
Menurut perkongsian 3rd Force Pasir Mas di Facebook, keluarga berkenaan kini memerlukan bantuan orang ramai bagi membolehkan Anis merealisasikan impiannya melanjutkan pengajian.
“Anis sudah berusaha dan membuktikan kesungguhannya dalam pelajaran. Kini, mungkin tiba giliran kita pula untuk membantu membuka jalan buatnya,” menurut perkongsian itu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan bagi menampung yuran pendaftaran, pembelian komputer riba atau kelengkapan pengajian Anis.
Perkongsian itu turut berharap bantuan berkenaan dapat memberi peluang kepada Anis meneruskan pengajian dan suatu hari nanti berjaya membantu keluarganya keluar daripada kesusahan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – 3rd Force Pasir Mas
