KOTA BHARU – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki bertindak kasar dengan menyepak seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kedai makan masakan Thai di Telipot, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada pukul 10.24 malam semalam berhubung rakaman video kejadian yang tular di aplikasi Threads dan Facebook.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati rakaman tersebut dimuat naik oleh pemilik premis makanan berkenaan menerusi akaun media sosial miliknya selepas merakam perlakuan lelaki terbabit terhadap mangsa yang dipercayai anaknya.
“Pihak polis mengesahkan kes disiasat secara terperinci mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan penganiayaan atau pengabaian kanak-kanak.
“Tindakan untuk mengesan kedua-dua individu yang memaparkan perlakuan kasar di dalam rakaman berkenaan sedang dijalankan oleh pasukan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, polis kini mempergiatkan usaha bagi mengenal pasti identiti serta lokasi keberadaan suspek dan mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faraheen Binti Azman Lim di talian 011-11136722 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
