KUALA LUMPUR – Malaysian University-UiTM tidak memandang mudah cabaran USM FC meskipun pasukan itu baru pertama kali beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027.
USM FC yang layak secara merit selepas muncul naib juara Liga A2 Amateur musim lalu, turut diperkuatkan barisan yang rata-rata terdiri daripada warga kerja Universiti Sains Malaysia (USM).
Ketua jurulatih Malaysian University-UiTM, Yazli Yahya berkata, setiap pasukan yang bersaing musim ini memiliki kualiti tersendiri termasuk USM FC.
“Kami akan bermain seperti biasa dan lebih berhati-hati pada aksi malam ini kerana kelebihan berpihak kepada USM FC selaku pasukan tuan rumah.
“Pemain telah diingatkan agar memberikan tumpuan sepenuhnya dan tidak melakukan kesilapan mudah yang memberikan ruang kepada lawan menjaringkan gol,” katanya.
Menurut beliau, Malaysian University-UiTM tetap turun dengan misi memburu keputusan positif biarpun beberapa pemain utama masih dibelenggu kecederaan.
“Ada beberapa pemain tidak berada dalam prestasi sebenar dan mengalami kecederaan, namun kami hadir dengan misi meraih mata dan tetap optimis dengan barisan pemain sedia ada,” ujarnya.
Malaysian University-UiTM sebelum ini mempamerkan aksi meyakinkan apabila berjaya mengikat Kelantan City FC yang dibarisi pemain berpengalaman dengan keputusan 1-1 pada aksi pertama di laman sendiri. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Amateur Football League
