BAGAN DATUK – Seramai 10 individu menerima Anugerah Maal Hijrah 1448H sebagai pengiktirafan terhadap jasa bakti dan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Bagan Datuk Tahun 2026.
Majlis yang berlangsung di Masjid Al-Khairiah Selekoh pada Jumaat lalu itu dianjurkan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Bagan Datuk serta Pengurusan Masjid Al-Khairiah Selekoh.
Program bertemakan ‘Menghayati Hijrah Rasulullah’ itu dirasmikan Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, YDH Toh Seri Lela Paduka Dato’ Dr. Khalid Ismail.
Turut hadir Timbalan Mufti Negeri Perak, Sahibus Samahah Dato’ Haji Zamri Hashim; Pegawai Daerah Bagan Datuk, Tuan Nazrul Fazami Mohamad; ketua-ketua jabatan daerah, pengerusi-pengerusi JPKK dan masjid serta warga Daerah Bagan Datuk.
Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk menerusi hantaran di Facebook memaklumkan sebanyak 10 Anugerah Maal Hijrah 1448H disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap jasa bakti dan sumbangan penerima.
“Sebanyak 10 Anugerah Maal Hijrah 1448H telah disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap jasa bakti dan sumbangan para penerima dalam bidang masing-masing,” menurutnya.
Antara penerima ialah Muhammad Adib Irfan Azizan bagi kategori Tokoh Sukan; Jamilah Ibrahim (Tokoh Guru KAFA); Mohammad Nor Abd Ghani (Tokoh Naib Kadi) dan Kumpulan Qasidah Al-Khairiah (Tokoh Dakwah Berkumpulan).
Turut menerima pengiktirafan ialah Mat Miswan @ Miswan bin Kusin @ Siran sebagai Tokoh Pegawai Masjid (Siak); Sabri bin Shuib (Tokoh Pegawai Masjid – Bilal); Hamzah bin Zakaria (Tokoh Pegawai Masjid – Imam); YDH Supt. Mohammad Ali bin Mohd Jali (Tokoh Kepimpinan Daerah) dan Tuan Haji Sulaiman bin Haji Samaudin (Tokoh Pendidik).
Sementara itu, Sahibus Samahah Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1448H.
Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah dan marjan oleh Kumpulan Qasidah Al-Khairiah, selain ucapan penutup dan tazkirah ringkas oleh Timbalan Mufti Negeri Perak.
Menurut Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk, sambutan berkenaan diharap dapat menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, memperkukuh ukhuwah serta menyuburkan semangat hijrah dalam kehidupan masyarakat.
“Semoga sambutan ini terus menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, memperkukuh ukhuwah serta menyuburkan semangat hijrah dalam kehidupan masyarakat,” menurutnya. – DETIK MALAYSIA
Sumber – Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk
